
- Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
- 19 Oktober 2025, 3:33 pm
JOHOR BAHRU – Dua remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 37.9 Lebuhraya Senai-Desaru, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pukul 11.25 malam ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke Ulu Tiram.
“Siasatan awal mendapati dua remaja yang menaik motosikal jenis Yamaha 135LC hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kanan jalan dan melanggar pembahagi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan. – KOSMO! ONLINE