BERA – Polis menahan dua lelaki kerana memiliki senjata tajam serta sebutir peluru 12 bore selain dipercayai mencuri kira-kira 40 tandan buah kelapa sawit semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, lelaki berusia 23 dan 17 tahun itu ditahan dalam Op Perdagangan di Kilometer 3 Jalan Triang 1, Pos Iskandar di sini.
“Semasa Op Perdagangan dilaksanakan polis telah menahan dua lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Iswara kerana kelihatan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan polis menemukan kira-kira 40 tandan buah kelapa sawit yang disyaki dicuri, satu senjata tajam, satu butir peluru 12 bore serta satu botol lutsinar berpenutup merah berisi cecair disyaki air ketum,”katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE