SIK – Anak tunggal mangsa pembunuhan kejam, Allahyarham Sariya Che Hin, 51, berharap kematian ibu dan adik perempuannya di Juru, Pulau Pinang semalam mendapat pembelaan sewajarnya.
Mohd. Noor Hafifi Hassan, 28, berkata, ini kerana dia tidak mahu kejadian menimpa ibu dan adiknya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, turut menimpa individu lain.
“Saya memang mengharapkan keadilan, bukan untuk saya sahaja, tetapi agar kejadian ini tidak menimpa orang lain yang akan mengalami kesedihan seperti saya.
“Saya juga amat berharap agar semua orang mengambil iktibar atas apa yang berlaku supaya sentiasa berwaspada akan keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarif, Jeneri di sini, malam ini.
Mohd. Noor Hafifi meminta pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian ibu dan adiknya itu.
“Sewaktu di hospital, saya dengar pelbagai perkara tular termasuk rakaman suara yang disebarkan di media sosial. Kalau ada saksi kejadian, saya mohon tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa kerana ini kes aniaya dan perlu ada saksi,” ujarnya.
Dia yang bekerja sebagai jurutera di Manjung, Perak mengakui terkejut menerima berita mengenai kematian ibu dan adiknya sebaik pulang dari tempat kerja semalam.
“Sebaik mendapat panggilan, saya tidak percaya lalu menghantar pesanan WhatsApp kepada ibu, namun tidak dibalas. Saya memang bercadang untuk pulang ke rumah ibu semalam atau hari ini. Banyak yang saya lalui bersama ibu dan terasa sangat singkat waktu bersama,” katanya.
Proses pengebumian dua beranak itu berlangsung dalam suasana pilu di Tanah Perkuburan Islam Al-Maarif malam ini.
Jenazah mangsa tiba di Masjid Al-Maarif pada pukul 7.15 malam dan selesai dikebumikan pukul 8.30 malam. Solat jenazah dan bacaan talkin dipimpin Imam Masjid Al-Maarif, Khadzir Sulaiman.
Terdahulu, Kosmo Online! melaporkan mayat dua beranak ditemukan di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru pada pukul 7.30 malam semalam dengan kesan tikaman dan kelar pada badan selain kepala dan tangan yang hampir putus.
Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE