PETALING JAYA – “Doa orang ramai mengiringimu, Syed Saddiq.”
Demikian kata- kata semangat pelakon dan penyanyi Bella Astillah kepada Ahli Parlimen Muar itu dalam satu hantaran Instagram malam tadi.
Rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang dihadapinya di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini
Menerusi perkongsian sama, Bella turut memuat naik fotonya bersama Syed Saddiq yang dipercayai ketika menyiapkan barangan bantuan yang aktif disalurkan kepada golongan memerlukan sebelum ini.
Sementara Syed Saddiq pula akan terus mempertahankan intergritinya dan mengharapkan keajaiban doa pada hari Nurul Quran hari ini.
“Saya akan terus mempertahankan integriti saya di mahkamah.
“Tiada senjata lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari yang istimewa ini,” ujarnya.
Perkongsian tersebut seterusnya mengundang sebak ramai dan rata-rata netizen mendoakan yang terbaik buat Syed Saddiq.
“Semoga anda berdua terus kuat. Doa kami semua mengiringi Syed Saddiq. Bella Stillah solat hajat malam ini.
“Semoga dipermudahkan segala urusan,” komen netizen.
Bella dan Syed Saddiq sebelum ini hangat menjadi bualan netizen selepas mereka menjadi wajah kempen raya bagi sebuah jenama pakaian popular.
Digelar BASS (Bella Astillah dan Syedd Saddiq), mereka juga aktif mengagihkan bantuan di beberapa kawasan termasuk Muar dan Semporna, Sabah.
Sebelum ini, Syed Saddiq , 32, dalam satu kenyataannya memaklumkan akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata, beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan rayuan tersebut.
Terdahulu, dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 28 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi berpendapat, tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Selain itu, mahkamah turut berpendapat tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith). – KOSMO! ONLINE