KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan tiada cadangan rasmi yang telah dipersetujui negara anggota BRICS bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat setakat ini.
Beliau berkata, Malaysia selaku negara rakan kongsi BRICS juga cakna terhadap situasi semasa terutamanya behubung ancaman bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bercadang untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara perkumpulan BRICS sekiranya negara-negara
BRICS meneruskan hasrat untuk menggunakan matawang baharu.
“Dalam hal ini adalah perlu supaya peranan dan hala tuju BRICS dilihat secara lebih holistik dan bukan semata-mata dilihat sebagai satu platform hanya untuk mengimbangi kuasa ekonomi negaranegara barat.
“Pada pandangan Malaysia, BRICS adalah satu platform yang semakin penting dalam mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu ekonomi serantau melalui dialog, forum atau perbincangan yang lebih strategik secara tidak mengikat (non-binding),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai pendirian Malaysia selaku rakan kongsi dalam BRICS ke atas ancaman Trump untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara BRICS.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, beliau tidak dapat dinafikan terdapat kesalingbergantungan yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan Amerika Syarikat terutamanya dalam rantaian bekalan semikonduktor yang mana syarikat-syarikat Amerika Syarikat adalah pelabur utama di Malaysia dalam sektor ini.
“Hubungan perdagangan yang saling melengkapi ini dapat dilihat berdasarkan statistik semasa di mana pada tahun 2023, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia manakala Malaysia pula merupakan rakan dagang ke-19 terbesar Amerika Syarikat.
“Oleh yang demikian, sebarang langkah mengenakan tarif 100 peratus akan hanya merugikan kedua-dua belah pihak yang saling bergantung dalam usaha untuk mencegah gangguan dalam rantaian bekalan global,” katanya. – KOSMO! ONLINE