
- Oleh KOSMO!
- 20 Oktober 2025, 1:13 pm
PETALING JAYA – Suasana ibu kota meriah sempena cuti sambutan Deepavali hari ini apabila orang ramai mengambil peluang bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.
Menerusi tinjauan di televisyen litar tertutup (CCTV) serta laman rasmi Lembaga Lebuhraya (LLM), kenderaan bertambah di lebuh raya utama memasuki ibu kota menjelang tengah hari ini.
Di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak, trafik mula meningkat selepas Plaza Tol Gombak ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta serta menghala ke pusat bandar raya, Kuala Lumpur.
Bagi Lebuh Raya Utara Selatan pula, kenderaan bertali arus dari arah utara dan selatan menuju ke ibu kota terutama melibatkan laluan bermula Plaza Tol Sungai Besi menuju pusat bandar.
Selain itu, di Lebuh Raya Baru Lembah Klang, kenderaan bertambah dari Shah Alam ke Kuala Lumpur ketika ini.
Sementara itu, di media sosial, ramai berkongsi aktiviti masing-masing bersama keluarga melawat beberapa lokasi tumpuan seperti Bukit Bintang, Zoo Negara, Tasik Titiwangsa serta sekitar Taman KLCC sempena cuti perayaan dan cuti tambahan persekolahan. – KOSMO! ONLINE