GEORGE TOWN – Aktivis Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat meminta kerajaan memperhalusi semula cadangan mewajibkan murid sekolah mencuci tandas mengikut jadual yang ditetapkan agar pelaksanaannya tidak menyimpang dari landasan utama pendidikan.
Timbalan Pengerusinya, P. Shandrsegar berkata, peranan murid ketika ini adalah menuntut ilmu dan membina potensi diri serta akademik ke peringkat yang lebih cemerlang, namun bukannya menggantikan tugasan sedia ada yang dipikul pekerja pembersihan.
“Peranan utama institusi pendidikan adalah menyediakan ruang pembelajaran yang lebih selesa supaya murid-murid dapat menumpukan sepenuhnya perhatian dalam bidang akademik dan sahsiah diri.
“Tanggungjawab rutin seperti pembersihan tandas secara kerap dan berjadual tidak seharusnya mengganggu fokus tersebut, sebaliknya perlu dilaksanakan secara seimbang dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, aktiviti gotong-royong berkala yang dilaksanakan di sekolah ketika ini wajar diteruskan sebagai medium pembentukan nilai kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan murid.
“Pendekatan ini lebih sesuai kerana ia bersifat pendidikan dan tidak membebankan, berbanding pelaksanaan tugas pembersihan tandas secara kerap yang boleh menimbulkan persoalan dari segi keutamaan pengurusan sekolah,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kerja-kerja pembersihan fasiliti sememangnya memerlukan pengurusan yang khusus, cekap dan terlatih, seperti yang dilaksanakan di premis kerajaan dan kemudahan awam.
“Justeru, semua sekolah di negara ini sewajarnya dilengkapi dengan perkhidmatan pembersihan yang mencukupi bagi tujuan menjamin keselesaan dan kesejahteraan murid,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan disaran mempertingkatkan lagi pemantauan terhadap prestasi pekerja pembersihan di sekolah selain memantau tugasan secara berkala bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada tahap optimum dan bersih.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua sekolah di negara ini menyediakan jadual mencuci tandas melibatkan pelajar sekolah dalam memastikan kebersihan tandas sekolah di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata, jadual yang perlu dimulakan minggu hadapan itu melibatkan semua pelajar sekolah bagi memastikan kebersihan tandas dan melatih mereka dalam membentuk jati diri. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5











































