Cuba seludup 82 tan kelapa ke Thailand lepas banjir

1 month ago 58

TUMPAT – Hajat dua pemandu treler untuk memperoleh upah hasil menyeludup sebanyak 82 tan buah kelapa bernilai RM410,000 tidak kesampaian selepas mereka dicekup dalam dua serbuan berasingan di sini kelmarin.

Kedua-dua treler itu ditahan semasa Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Ops Taring Wawasan di daerah ini.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, tangkapan pertama dijalankan kira-kira pukul 2 petang di Kampung Simpangan, di sini selepas anggota PGA melihat sebuah treler jenis Volvo dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu kemudian menjumpai lebih 41,000 kilogram (kg) buah kelapa tanpa sebarang dokumen yang sah.

“Siasatan mendapati, pemandu treler itu yang berusia 40 tahun dipercayai berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup buah kelapa tersebut ke negara jiran. Anggaran keseluruhan kelapa yang dirampas bernilai RM 205,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Treler membawa muatan buah kelapa yang ditahan di dua lokasi berasingan di Tumpat kelmarin. FOTO IHSAN PGA

Sementara itu, Nik Ros Azhan memberitahu, setengah jam kemudian, pihaknya menahan sebuah lagi treler jenis Volvo yang dipandu dalam keadaan mencurigakan Jalan Pulau Ular, Pengkalan Kubor di sini.

Katanya, pemeriksaan ke atas treler berkenaan mendapati ia membawa jumlah sama dengan kenderaan yang pertama ditahan di Kampung Simpangan.

“Lori tersebut dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dan kesemua kelapa bernilai RM 205,000 itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |