Contohi ketabahan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail berdepan ujian Allah – PM

8 hours ago 6

PETALING JAYA – Perdana Menteri menyeru umat Islam menghayati semangat pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha dengan mencontohi ketabahan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S dalam mendepani ujian daripada Allah SWT.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap usaha dan ikhtiar yang dilakukan dalam menghadapi cabaran kehidupan menuntut satu bentuk pengorbanan sebagai prasyarat ke arah kejayaan lebih bermakna.

“Pengorbanan yang kita lakukan hari ini punya harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara sama ada dalam hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan dan lapangan keagamaan punya penekanan dan manifestasi masa hadapan.

“Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan malah, kehidupan selepas kematian juga,” tulisnya pada satu hantaran di laman Facebook.

Anwar berkata, kehidupan tanpa pengorbanan akan menjadi gersang dan tidak bermakna kerana sesuatu dikorbankan lazimnya melibatkan perkara yang paling disayangi manusia termasuk harta, keluarga dan kedudukan.

Katanya, semakin besar pengorbanan dilakukan seseorang, semakin tinggi nilai ketakwaan dan keikhlasan yang dapat dizahirkan.

Mengulas mengenai ibadah haji pula, beliau menyifatkan ia sebagai antara kurniaan terbesar Allah SWT kepada umat Islam kerana mengandungi maqasid kerohanian yang mendidik manusia menjadi lebih zuhud serta sederhana.

“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih dan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan wuquf di Arafah turut menjadi simbol penyatuan umat Islam tanpa mengira darjat, pangkat dan kedudukan sehingga mampu membugar rasa insaf serta tawaduk di hadapan Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supya sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

“Jangan kita terpesong dari tujuan dan landasan kita. Dunia harus menjadi jambatan utuh ke arah negeri yang abadi dan kekal selamanya.

“Saya turut mendoakan agar para jemaah yang kini berada di tanah suci beroleh Haji yang mabrur, dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |