SEJAK tahun lalu isu perceraian secara taklik kerap diperkatakan dalam kalangan masyarakat.
Antara sebab isu perceraian lafaz taklik ini menular dalam media sosial kerana beberapa selebriti tanah air yang bercerai berikutan pasangan melanggar perjanjian taklik antara mereka.
Menyingkap kamus industri seni tahun lalu, pengarah juga pelakon terkenal, Syamsul Yusof dan Ira Kaza merupakan pasangan selebriti yang disahkan bercerai selepas si isteri lima kali melanggar perjanjian taklik suami.
Manakala tahun ini, pelawak Along Cham pula mengundang perhatian dengan memfailkan perceraian terhadap isterinya, Afreena Suhaimi kerana dikatakan sudah melanggar tiga perjanjian taklik.
Kekerapan isu cerai taklik mencetuskan banyak suara. Ada yang memahami secara asas tetapi sayangnya terdapat juga segelintir kurang mengerti jatuhnya talak disebabkan lafaz taklik.
Tidak kurang juga ada yang memandang cerai taklik sudah menjadi satu trend dalam kalangan pasangan suami isteri zaman sekarang. Tabiat sesuka hati menggariskan syarat dan tanpa sedar, natijahnya memusnahkan sebuah ikatan perkahwinan sekelip mata.
Mencari tahu secara terperinci mengenai cerai taklik, pendakwah bebas yang juga pengacara, Amin Idris ketika dihubungi HibGlam berkata, banyak pasangan suami isteri masih kurang memahami apakah keperluan dan punca terjatuhnya talak disebabkan pelanggaran taklik.
“Sebab itu masa kelas agama atau kursus kahwin jangan tidur. Pertama sekali kena faham dulu ilmu asas.

“Sebenarnya taklik ini sudah dibaca suami kepada isteri selepas akad nikah. Itu adalah lafaz taklik umum tentang tanggungjawab kedua-dua belah pihak.
“Manakala kalau taklik khusus pula si suami meletakkan syarat tertentu terhadap isteri. Kalau langgar memang jatuh talak,” katanya.
Ditanya tentang terdapat pandangan bahawa cerai taklik ini sering disalah guna golongan suami, Amin menegaskan wujud situasi tersebut tetapi syarat yang diletakkan haruslah tidak melanggar syarak.
“Suami sepatutnya membuat perjanjian taklik tanpa melanggar syarak dan logik.
Pertama, kalau syarat bersifat ke arah maksiat, memang langgar syarak.
“Kedua, syarat tidak munasabah dan ketiga berkaitan kewajipan isteri yang hakikatnya si isteri memang tahu itu tanggungjawabnya.
“Jadi, walaupun kuasa talak dalam tangan suami, mereka dilarang untuk salah guna,” jelasnya.
Bukan sahaja salah guna dalam kalangan suami, Amin berkata, wujud kebimbangan lain iaitu golongan feminis yang mempertikai cerai taklik kerana dikatakan menyekat kebebasan golongan wanita.
“Ada wanita sanggup melanggar perjanjian taklik yang ditetapkan suami.
“Kalau nak hidup bebas tetapi sudah kahwin, memang tak bolehlah.
“Hakikatnya, taklik bukan untuk mengongkong atau menyekat kebebasan wanita. Kalau ikut agama, memang tak akan timbul bebanan,” tuturnya.

Berulang kali ditegaskan, setiap individu beragama Islam khususnya yang mahu mendirikan rumah tangga wajib memahami asas agama, terutama berkaitan perceraian bagi memastikan niat bernikah adalah berlandaskan syarak.
“Jadi, kena ada ilmu. Kahwin bukan sekadar mahu kahwin tetapi kena ada ilmu supaya tak zalimi orang dan isteri.
“Isteri juga jangan beri ruang dizalimi suami tetapi segala tindakan tetap perlu ikut syarak sebab dalam agama pun tak benarkan salah guna cerai taklik.
“Apabila wujud trend cerai taklik, semuanya disebabkan kurang faham ilmu agama,” jelasnya.
Amin tidak menafikan trend cerai taklik berlaku disebabkan segelintir golongan lelaki sukar mengawal emosi.
“Kuasa talak diberikan kepada suami kerana mereka tidak mudah beremosi seperti wanita. Tetapi, golongan suami zaman sekarang boleh tahan emosional. Jadi, suami pun kena jaga-jaga,” ujarnya.
Amin turut berkongsi, pasangan suami isteri boleh membatalkan dan mengubah syarat taklik tetapi semua itu boleh dilakukan sebelum berlakunya sebarang pelanggaran atau jatuh talak dan perlu ke pejabat agama.