CCTV rakam ‘Nampak mangsa dalam longkang’, ‘saksi berlari’

1 week ago 14

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berkaitan Zayn Rayyan Abdul Matin pada hari kanak-kanak autistik itu hilang pada 5 Disember 2023.

Juruanalisis Kanan Unit Siasatan Audio Video, Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz berkata dua rakaman CCTV itu ialah ‘Nampak Mangsa Dalam Longkang’ dan ‘Saksi Berlari’ yang mana kedua-dua rakaman tersebut antara pukul 12.08 tengahari hingga 12.13 tengahari pada 5 Disember 2023.

“Proses analisis dijalankan terhadap dua fail rakaman sebagaimana dipohon oleh pegawai penyiasat. Hasil analisis dan pemeriksaan telah mengenal pasti imej-imej sebagaimana dipohon. Imej – imej tersebut di ‘capture’ kemudian dibesarkan dan dijalankan proses ‘enhancement’ bagi tujuan menjelaskan kualiti imej.

“Hasil analisis yang telah saya jalankan menunjukkan imej-imej yang dikeluarkan adalah kurang jelas, terdapat beberapa objek lain yang menghalang imej individu di dalam paparan video yang menyebabkan imej kelihatan kabur dan kurang jelas,” kata saksi pendakwaan ke-26 itu.

Lanjutan pernyataan saksi itu turut menyatakan selain dua rakaman ‘Nampak Mangsa Dalam Longkang’ dan ‘Saksi Berlari’, rakaman CCTV itu ialah ‘Penampakan’ pada tarikh sama.

“Paparan ‘Penampakan’ adalah imej individu berbaju putih berjalan dalam terowong, dan jalan balik dalam terowong dan juga individu berbaju hitam berlari.

“Bagaimanapun, hasil analisis yang saya jalankan menunjukkan imej-imej yang dikeluarkan adalah kurang jelas, terdapat beberapa objek lain seperti pagar dan pokok yang menghalang imej individu di dalam paparan video serta jarak daripada kamera CCTV dengan subjek yang difokuskan adalah jauh,” kata saksi itu lagi.

Semasa prosiding sebanyak 10 rakaman CCTV ditunjukkan kepada mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi 21 April ini.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |