Bukankah malam Aidilfitri malam menggembirakan? – Pendakwaan

1 week ago 14

AMPANG – Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki dalam kejadian pada malam Aidilfitri lalu.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Mohd. Zulfika Abdul Rahman, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama sebulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan tertuduh bersama-sama dengan lapan lagi yang masih bebas adalah ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang di mana tujuan bersama untuk mencederakan
seorang lelaki berusia 38 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Keramat di sini pukul 11.30 malam pada 30 Mac lalu (2025) yang didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili Mohd. Zulfika memohon mahkamah mengenakan denda minima dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

“Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu menanggung seorang isteri dan dua anak berusia dua dan empat tahun. Anak tertuduh yang berusia empat tahun merupakan autisme. Ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh telah insaf dengan apa yang dilakukan,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon satu hukuman setimpal dengan mengambil kira kejadian berlaku pada malam hari raya Aidilfitri.

“Bukankah malam tersebut (Aidilfitri) sepatutnya menjadi malam yang menggembirakan semua pihak? Tetapi sebaliknya telah berlaku mangsa dicederakan dengan sengaja.

“Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam yang melebihi kepentingan tertuduh,” kata Nurhidayah.

Mengikut fakta kes, semasa mangsa berada di rumahnya, datang lebih kurang 10 lelaki memukul mangsa di bahagian kepala dengan menggunakan buku lima dan kayu selain menendang serta memijak badannya.

Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata kanan dan kepala sebelum mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Sementara itu dalam prosiding sama, seorang lagi lelaki Muhammad Haziq Hezri, 23, yang turut terlibat dalam kes sama tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Haziq diikat jamin RM3,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa dan menetapkan 16 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan enam lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan antara dua kumpulan yang melibatkan 10 lelaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kesemua warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Hulu Kelang pada 2.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |