SETIAP kejayaan dikecapi pasti ada jalan cerita dan cabaran yang perlu ditempuhi.
Begitu juga dengan Siti Aisyah Kamaruddin yang mula berniaga air mangga di pasar malam dan kini bisnes minuman buah-buahannya terus berkembang maju di pasaran.
Malah, dia bijak mengembangkan perniagaan dengan mempelbagaikan variasi produk termasuk sajian pencuci mulut.
Meniti usia 33 tahun, Siti Aisyah merupakan usahawan kelahiran Kuala Lumpur yang juga pengasas Ayaq World Sdn. Bhd..
“Saya mula fokus berniaga jus mangga di pasar malam pada tahun 2017 di Sentul dan sekitar Hospital Kuala Lumpur.
“Daripada pemerhatian saya, kebanyakan jus mangga yang dijual di kedai tidak menepati cita rasa.
“Rasa kecewa tersebut mencetuskan ilham buat saya untuk menghasilkan dan menjual jus mangga yang lebih pekat, segar dan tanpa bahan pengawet,” katanya kepada Aura.
Tambah anak kelahiran Kedah itu, ia bersesuaian dengan tagline produknya iaitu ‘Pekat, Likat, Melekat’.
Meneruskan cerita, ketika awal melibatkan diri dalam bisnes, air minuman berasaskan mangga seperti mango shake dan mango float mendapat sambutan cukup hangat.
Fenomena itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan yang diusahakannya.
“Dari situ tercetusnya idea untuk menukar strategi dengan membotolkan jus mangga tersebut.
“Semuanya bermula apabila seorang rakan menghubungi saya untuk memesan jus mangga.
“Apa yang saya lakukan ketika itu, saya beli air mineral kemudian buang airnya.
“Saya gantikannya dengan jus mangga. Kiranya itulah pertama kali saya ‘membotolkan’ jus mangga saya.
“Sejak itu, jus saya mula dijual di tepi-tepi jalan, berdekatan bank dan di tepi kedai makan.
“Kemudian, perniagaan ini semakin berkembang dan mula diagihkan kepada ejen dan stokis,” ujarnya.
Ujar Siti Aisyah, kebajikan pekerja adalah perkara paling penting dalam memastikan sesebuah perniagaan bertahan lama.
“Saya sangat menjaga orang-orang di sekeliling saya iaitu pekerja, dan itulah rahsia kejayaan perniagaan ini.
“Saya juga sangat menjaga kebajikan mereka termasuk rumah, makan dan sebagainya.
“Selain itu, saya juga menjaga dan ‘pegang’ stokis serta ejen dengan membeli jiwa mereka,” katanya.