Bercerai perlu ada strategi nak teruskan hidup – Diana Danielle

2 months ago 26

PETALING JAYA – Menyokong tindakan Zahnita Wilson bersuara menerusi media sosial, pelakon Diana Danielle berkata perkara tersebut dapat membantu wanita yang berdepan keganasan rumah tangga mendapatkan keadilan.

Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, turut menyelar pandangan masyarakat yang seolah-olahnya memberi ‘lampu hijau’ lelaki berstatus suami bebas mengasari isteri.

“Mereka hanya ingin mendapatkan pembelaan serta mahu masalah mereka didengari, sebelum kejadian lebih buruk hingga mengakibatkan kehilangan nyawa berlaku.

“Masyarakat sering berpandangan wanita harus bersabar, sekalipun menjadi mangsa keganasan rumah tangga kerana yakin akan ada sinar bahagia. Mereka juga sering dinasihatkan supaya perlu banyak berdoa dengan harapan satu hari nanti suami akan berubah, tetapi itu sepatutnya dihentikan.

“Perubahan tersebut perlu datang daripada individu yang melakukannya kerana kezaliman hanya akan berhenti bila si pelaku berhenti,” katanya menerusi audio siar Kata Kita.

Dalam masa sama, pelakon filem Imaginur itu turut memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan melarang mangsa yang dianiaya suami secara fizikal dan mental untuk mendedahkan perbuatan tersebut.

“Masyarakat kalau tak tahu cerita, jangan hanya pandai memberikan motivasi meminta wanita bersabar atau kena fikir anak-anak.

“Kenapa kena fikirkan antara aib dengan bangkit untuk perjuangkan hak sendiri? Ramai tak faham kerana seakan-akan ada kekeliruan di situ, sepatutnya apabila ditindas atau dizalimi, kita berhak untuk bersuara tetapi ramai yang masih tak faham.

“Masyarakat masih berpandangan apa sahaja cerita negatif tentang ahli keluarga atau kawan-kawan tak perlu diceritakan sedangkan orang yang jadi mangsa perlukan sokongan.

“Namun, akhirnya apa yang mereka nak luahkan terpotong di situ kerana kita masih ada stigma menjaga aib dalam kalangan masyarakat,” ujarnya lagi.

Menjawab pertanyaan mengenai kisah rumah tangga disensasikan, Diana tidak menafikan perkara tersebut dan mengakui rata-rata cuma lakukan hanya untuk melangsungkan kehidupan baharu.

“Ada yang buat begitu mungkin sebab itu cara  untuk membuka rezeki mereka kerana saya nampak kebanyakan wanita memang ke arah itu.

“Bila mereka sudah menjadi suri rumah terlampau lama sanggup ketepikan ijazah dan kerjaya demi memberi perhatian kepada rumah tangga, mereka tidak lagi memiliki pendapatan.

“Jadi apabila nak bercerai mereka perlu ada strategi bagaimana nak teruskan kehidupan selepas itu memandangkan sebelum ini bergantung kepada suami.

“Kita tidak boleh tengok hanya pada permukaan kenapa mereka buat begitu tetapi kena fikirkan yang mereka juga ingin cari makan,” kongsinya.

Awal minggu ini, bekas peragawati, Zahnita mengejutkan ramai apabila memuat naik foto bahagian matanya lebam dan mendakwa dipukul suaminya selepas bertanya tentang kehadiran orang ketiga.

Menurut Zahnita, dia mendedahkan kesengsaraan itu selepas tidak lagi mampu bertahan dalam tempoh 20 tahun hidup bersama.

Kosmo! Online juga melaporkan pihak polis mengesahkan suaminya ditahan reman selama tiga hari di Kuantan bagi membantu siasatan.

Suami Zahnita, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |