Berbirat tangan kena jerat tali tangsi di plaza tol

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Seorang ibu melahirkan rasa bimbang apabila anaknya menjadi mangsa jerat tali tangsi yang dipercayai dipasang merentangi laluan motosikal di plaza tol Hospital Sungai Buloh, semalam.

Menerusi hantaran di Thread Narimah Ismail, ketika kejadian anaknya terasa sesuatu menjerut bahagian leher sebelum mengalami luka kecil di lengan.

“Dia dah rasa tali tu kena leher, tapi nasib baik pakai jaket. Bila tengok balik, rupanya tali tangsi kena di bahagian lengan,” katanya.

Wanita tersebut berkata, laporan telah dibuat kepada pihak Plus Malaysia Berhad (Plus) untuk tindakan lanjut dan siasatan segera bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang memasang jerat berbahaya itu.

“Saya dah maklumkan kepada pihak Plus untuk buat siasatan agar pelaku ditangkap dengan segera. Siapa yang buat benda ni memang berniat jahat,” ujarnya.

Wanita itu turut melahirkan kebimbangan sekiranya jerat tali tangsi tersebut mempunyai kaitan dengan cubaan jenayah samun, memandangkan kawasan laluan motosikal itu agak sunyi terutama pada waktu malam.

“Saya risau kalau ini taktik nak samun penunggang motor. Perkara inilah saya selalu risau terjadi pada anak-anak,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang melahirkan kerisauan terhadap insiden tersebut selain ada juga berkongsi pengalaman yang seakan sama seperti anak wanita itu.

“Saya pernah kena dekat tol Rawang. Koyak baju ingatkan kena apa, bila tengok balik memang ada tali tangsi,” komen Bunga.

“Ni modus operansi biasa untuk samun di laluan motosikal. Kalau lalu masa malam, and kena pasti ada tetiba muncul untuk lakukan jenayah samun,” komen Nurul.

“Ke tali layang-layang? Sebab sekarang musim orang main layang-layang. Hari tu ada nampak orang main berdekatan hospital,” komen Khairil pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |