PETALING JAYA – Pelumba Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team, Muhammad Helmi Azman bersedia untuk menggugat kedudukan Apiwath Wongthananon dalam perlumbaan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada Ahad ini.
Persaingan sengit di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand itu dijangka tercetus dalam perlumbaan final dalam kategori SuperSports 600 (SS600).
Helmi kini menduduki tempat keempat dalam kedudukan keseluruhan dengan 113 mata dan bertekad untuk memberi cabaran sengit kepada Apiwath mewakili Yamaha Tekhne Racing Team Asean yang kini mengungguli carta menerusi 155 mata.
Dua lagi pelumba negara, Mohammad Adenanta Putra (Astra Honda Racing Team) dan rakan sepasukan Helmi, Azroy Hakeem Anuar turut beradadalam persaingan merebut gelaran juara menjadikan pertarungan tersebut lebih terbuka.
Helmi yang terkenal dengan semangat juang tinggi dan baru sahaja turun sebagai pelumba wildcard Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Sepang bulan lalu, kini bersedia memberikan yang terbaik.
“Apiwath memang kuat di sini, tapi saya tidak akan menyerah begitu sahaja. Saya sudah bersedia, dan saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk berdepan dengan tekanan.
“Ini adalah masa untuk saya terus menyinar dan saya juga belajar dari pengalaman lalu untuk berjuang dengan lebih bijak,” kata Helmi.
Helmi yang sudah mengumpul satu kemenangan, dua kali tempat kedua, dan satu kedudukan ketiga dalam musim ini, menyifatkan Litar Antarabangsa Buriram sebagai tempat yang penuh cabaran.
Cuaca tidak menentu di Thailand juga berpotensi menambah kesukaran bagi semua pelumba, namun Helmi tidak terkesan dengan situasi tersebut.
“Keadaan basah di sini memang agak mencabar. Saya perlu beradaptasi dengan cepat jika hujan turun, tetapi saya yakin dengan persiapan yang telah saya lakukan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE