APSS dilaksanakan esok untuk 10 penerbangan termasuk MAS

6 hours ago 5

PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan fasa pertama Advance Passenger Screening System (APSS) melibatkan 10 buah syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Malaysia Airlines (MAS) bermula esok.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui APSS, maklumat penumpang akan disemak sebelum ketibaan mereka di pintu masuk negara.

Katanya, pendekatan ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti potensi risiko keselamatan lebih awal serta mengambil tindakan sewajarnya secara proaktif, sekali gus memperkukuh aspek pencegahan.

“Pelaksanaan fasa pertama ini membolehkan KDN, Jabatan Imigresen (JIM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menilai keberkesanan operasi bersama dengan syarikat penerbangan terlibat sebelum diperluas kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa pada Mac 2026.

“Jadual pelaksanaannya turut dipercepat dari bulan Disember ke bulan ini bagi memastikan pematuhan Malaysia kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).

“Ini termasuk mematuhi piawaian keselamatan global bawah Universal Security Audit Programme – Continuous Monitoring Approach (USAP–CMA) oleh International Civil Aviation Organization (ICAO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain MAS, antara syarikat penerbangan lain yang terlibat ialah VietJet Air (Vietnam), Emirates (UAE), Scoot (Singapura) dan US-Bangla Airlines (Bangladesh).

Saifuddin berkata, pelaksanaan APSS mencerminkan kesungguhan KDN untuk memperkukuh keselamatan negara melalui penggunaan data dan teknologi.

Katanya, sistem ini merupakan sebahagian daripada reformasi kawalan imigresen yang membolehkan pengesanan awal individu berisiko tinggi sebelum ketibaan mereka di Malaysia.

“Pelaksanaan awal APSS menunjukkan komitmen kerajaan tentang keselamatan rakyat serta kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global.

“Pendekatan berasaskan teknologi ini turut memperkukuh daya tahan negara dan memperkukuh imej Malaysia sebagai hab penerbangan serta pelancongan yang selamat dan moden,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |