Angkat martabat, perkukuh perpaduan asas kestabilan negara – Anwar

2 days ago 3

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan mengangkat martabat insan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat sebagai asas kepada kestabilan dan keamanan negara.

Dalam perutusan khas Aidilfitri malam ini, beliau turut berkongsi pengalaman sepanjang Ramadan mengikuti siri Program Ihya’ Ramadan di beberapa kementerian serta negeri termasuk Selising, Tawau dan Chukai.

“Keistimewaannya ialah menyaksikan sendiri di peringkat akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat, keluhan mereka dan usulan mereka setra melihat keberkesanan kaedah pelaksanaan yang dijalankan oleh kerajaan Persekutuan, negeri dan perbandaran atau kerajaan tempatan.

“Kita terus menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi saya tegaskan bahawa kekuatannya akhirnya adalah kejayaan kita mengangkat taraf kehidupan rakyat terbanyak,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa Aidilfitri bukan sekadar hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, tetapi juga satu peringatan untuk menanam sikap ihsan, hormat-menghormati serta kasih sayang sesama masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Tanpa sikap hormat-menghormati di antara satu sama lain dan juga menanam sikap ihsan serta kasih sayang di antara kita, negara ini tidak akan dapat menjamin kestabilan dan keamanan yang diharapkan.

“Mudah-mudahan, Eid Mubarak kali ini disambut dengan kesedaran sedemikian, mengangkat martabat kita sebagai manusia yang lebih berwibawa, berakhlak mulia dan menjalankan tugas kita dengan penuh amanah,” ujarnya.

Pada masa sama, Anwar turut mengambil kesempatan memohon kemaafan kepada rakyat serta berjanji akan terus melakukan sebaiknya demi kebajikan semua.

“Salam kepada semua, kepada keluarga, sanak saudara, bermaaf-maafan termasuk dari saya dengan kekurangannya. Insya-Allah akan melakukan yang terbaik demi kebaikan semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |