GEORGE TOWN – Aktivis Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menuntut penjelasan berhubung video tular yang memaparkan tindakan penguatkuasa sebuah agensi kerajaan mengiringi konvoi kereta mewah di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, Sabtu lalu.
Timbalan Pengerusinya, P. Shandrasegar berkata, pihaknya terkesan dengan beberapa video tular di media sosial sejak semalam berhubung prosedur operasi standard (SOP) kawalan lalu lintas oleh sebuah agensi penguatkuasaan.
Menurut beliau, pihaknya turut menuntut penjelasan sama ada berlaku sebarang pelanggaran tatakelola atau penyalahgunaan kuasa dalam kejadian berkenaan ataupun terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
“Agensi terbabit perlu menjelaskan pengiring mematahi SOP ditetapkan atau tidak serta tujuan sebenar pengiring diberikan.
“Kita juga menggesa Jabatan Integriti menjalankan semakan dalaman dengan telus bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran tatakelola berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu,Shandrasegar turut mempersoalkan tindakan beberapa individu dalam konvoi tersebut yang dilihat memandu sambil memegang kamera 360 darjah.
“Adakah pemandu dibenarkan menggunakan peranti elektronik ketika memandu? Adakah tindakan sudah dikenakan?
“Siasatan telus perlu dilaksanakan dan perlu didedahkan kepada umum bagi memastikan tahap keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa di negara ini tidak terjejas,” tambahnya.
Terdahulu, tular video di TikTok yang memaparkan tindakan unit penguatkuasa bermotosikal mengiringi sekumpulan pemilik kereta mewah di Jambatan Kedua Pulau Pinang, semalam. Menerusi video tersebut, kelihatan juga beberapa pemandu kereta import itu dalam keadaan memegang kamera 360 darjah sambil memandu.
Rata-rata pengguna di media sosial turut menuntut agar pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perkara tersebut secara telus.
“Untung jadi orang kaya boleh pandu sambil pegang kamera 360,” tulis Fairuz.
“Minta pihak berkuasa memberi penjelasan supaya imej anda tidak terjejas,” balas Abanglong
“Simpati lihat pemandu kereta Proton X50, terpaksa ke tepi sebab bagi laluan kepada orang kaya di jalanan,” tulis seorang lagi pengguna.-KOSMO! ONLINE

5 hours ago
5
















































