50 anggota SMART ke Myanmar, laksana misi bantuan kemanusiaan

2 days ago 5

PETALING JAYA – Malaysia mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar bagi melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook hari ini berkata, pasukan tersebut diketuai oleh Kontinjen Komander, PGKB 1 Mohamad Hafiezul Abdul Halim bersama 49 anggota penyelamat.

Menurutnya, pasukan SMART terdiri daripada 16 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 13 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 21 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang akan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.

“Situasi di Myanmar masih kritikal dengan lebih 1,600 nyawa terkorban, ramai lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan serta kemusnahan besar akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud.

“Misi ini bukan sekadar bantuan, tetapi satu amanah kemanusiaan yang mendesak dan perlu disegerakan demi menyelamatkan seberapa banyak nyawa yang mungkin, terutama dalam tempoh 72 jam pertama yang amat kritikal,” katanya.

Beliau turut menghargai keberanian dan kesediaan pasukan SMART dalam menghadapi pelbagai cabaran di lapangan termasuk cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius, kekurangan bekalan asas serta jaringan jalan yang rosak.

“Misi ini turut melibatkan pelbagai agensi dengan sokongan penuh Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (Nadma) selaku agensi peneraju.

“Koordinasi erat dengan Wisma Putra, Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia memastikan pasukan kita bergerak dengan kelengkapan terbaik,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut berdoa agar setiap anggota yang terlibat diberikan perlindungan dan kekuatan untuk menjalankan misi dengan selamat dan berkesan.

“Malaysia akan terus memainkan peranan dalam membantu negara-negara yang memerlukan, selaras dengan semangat #1ASEAN1Response,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |