KUALA LUMPUR – Lima warga Pakistan yang terlibat dalam membantu menyelamatkan mangsa letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor kini terkenal dalam kalangan rakyat negara mereka.
Kelima-lima mereka malah menerima sijil penghargaan daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia atas keberanian dan sikap tidak mementingkan diri sewaktu berhadapan dengan bencana tersebut.
Pengarah Alfaro Sdn. Bhd., Farooq Ahmad berkata, kisah keberanian mereka membantu mangsa insiden itu menjadi tular di Pakistan sehingga mendapat perhatian anggota Kabinet kerajaan Pakistan.
“Ramai rakyat Pakistan berasa bangga dengan mereka. Menteri persekutuan Pakistan, Amir Muqam juga telah menghubungi saya bertanyakan tentang kisah mereka.
“Dia (Amir) sangat gembira dan minta beritahu kepadanya jika lima orang ini pulang ke Pakistan. Dia mahu bertemu dengan mereka,” katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.
Turut hadir lima warga Pakistan terlibat iaitu Khaista Nawab 50, Bakht Munir, 37, Amir Nawab, 48, Rafiq Ullah, 25, dan Jaafar ali, 40, yang merupakan pekerja kedai dan pembersihan.
Mengimbau kejadian tersebut, Khaista berkata, kellima-lima mereka bertindak terjun ke dalam sungai itu tanpa menghiraukan keselamatan diri bagi membantu mangsa yang cuba menyeberang kerana kepanasan.
Menurutnya, mereka terlebih dahulu melihat sekumpulan individu dari Kampung Tengah di seberang sungai cuba meredah sungai itu untuk ke tempat mereka, namun ada yang dilihat seolah-olah mahu lemas.
“Kami nampak ada kanak-kanak seperti sudah tercungap-cungap, jadi kami masuk ke dalam sungai membantu mereka. Masa itu kami tidak fikir bahaya atau ada buaya, mesti bantu mereka.
“Sungai itu besar. Kita nampak dan niat mesti bantu. Tak fikir nyawa diri, tak fikir buaya. Kita fikir kita sama manusia mesti bantu,” katanya.
Katanya, beberapa mangsa yang mereka selamatkan ada bertemu dengan mereka selepas kejadian mengucapkan terima kasih.
Amir berkata, jarak lokasi kebakaran dan rumah mereka kira-kira satu kilometer, tetapi bahang kebakaran itu sangat panas sehingga merosakkan pokok berhampiran kediaman mereka.
“Masa itu kami sedang rehat di rumah masa cuti hari raya. Kami nampak kebakaran dan bunyinya sangat kuat. Rumah kami pun panas,” katanya. – KOSMO! ONLINE