5 bintang tersohor ‘punching bag’ pasangan kaki baran

1 month ago 26

MINGGU ini industri hiburan tempatan dikejutkan dengan pendedahan pelakon Zahnita Wilson dipukul suami. Menurut Zahnita yang merupakan peragawati terkenal awal era 2000 itu, sudah 20 tahun dia bersabar dan bertahan hidup dalam perkahwinan toksik.

Selain Zahnita, bekas isteri kepada pelakon Jay Iswazir yang dikenali sebagai Azzahra Ahmad turut mendedahkan dia pernah menjadi mangsa pukul aktor tersebut selain selain diminta menggugurkan kandungan.

Gala minggu ini menyingkap kisah lima selebriti terkenal luar negara yang pernah menjadi mangsa keganasan dalam perhubungan cinta dan perkahwinan.

Rihanna

Biarpun sudah 15 tahun berlalu, masih segar dalam ingatan Rihanna pernah menjadi mangsa pukul bekas kekasihnya, penyanyi Chris Brown pada 2009. Rihanna telah dipukul dalam kereta sehingga cedera teruk. Malah, dia diugut akan dipukul lagi apabila mereka tiba di rumah. Mujur dia menghantar mesej kepada rakannya supaya menghubungi polis. Disebabkan insiden itu juga Rihanna terpaksa membatalkan siri jelajah konsertnya termasuk di Malaysia.


Cassie

Pertengahan tahun ini tular dalam media sosial seluruh dunia video penyanyi Cassie dipukul dengan teruk oleh kekasihnya iaitu Sean Diddy Combs atau lebih dikenali sebagai P Diddy di sebuah hotel pada 2016. Rakaman kamera litar tertutup hotel itu telah tersebar selepas lapan tahun kejadian tersebut berlaku. Diddy tampil membuat permohonan maaf menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram kerana telah mengasari Cassie.

Johnny Depp

Kes mahkamah yang melibatkan pelakon terkenal Johnny Depp dan bekas isteri, Amber Heard mendapat liputan meluas seluruh dunia. Malah, prosiding kes mahkamah mereka telah disiarkan secara langsung.
Depp mendakwa dia sering menjadi mangsa sikap bengis Amber yang suka menampar serta membaling objek kepadanya. Dia pernah cedera di kepala akibat terkena alat kawalan jauh televisyen yang dibaling Amber. Tidak hanya itu, Depp juga mengalami kecederaan teruk di jari selepas dibaling dengan botol oleh Amber.

Lesti Kejora

Penyanyi terkenal dari Indonesia ini menjadi tular dalam media sosial termasuklah di Malaysia gara-gara dikasari suaminya yang juga seorang selebriti iaitu Rizky Billar. Lesti terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan pada bahagian leher sehingga terpaksa memakai pendakap leher.

Dalam satu video tular yang dirakam kamera litar tertutup menunjukkan dengan jelas Rizky melempar bola snooker kepada isterinya.
Biarpun terpalit dengan kontroversi keganasan rumah tangga, pasangan ini masih bersama sehingga hari ini.

Aishwarya Rai

Jelitawan Bollywood yang juga penyandang gelaran Ratu Cantik Dunia 1994 ini pernah menjadi mangsa keganasan bekas kekasihnya iaitu pelakon terkenal, Salman Khan. Aishwarya dikatakan sering dipukul Salman yang kuat cemburu. Malah pada satu acara anugerah, Aishwarya dilihat memakai cermin mata hitam untuk menutup kesan lebam di bahagian matanya.

Ibu bapa Aishwarya juga pernah membuat laporan polis terhadap Salman yang sering menghendap dan mengugut aktres itu. Sikap panas baran Salman turut membuatkan nama Aishwarya digugurkan daripada filem Chalte Chalte biarpun telah menjalani sebahagian daripada penggambaran. Posisinya sebagai heroin digantikan Rani Mukerji.

Read Entire Article
Pertanian | | | |