4 selebriti jelita semakin menyala selepas cerai

11 hours ago 3

BERCERAI bukan noktah kebahagiaan, kadangkala itulah permulaan baharu yang membuka pintu rezeki, memperindah jiwa dan menyingkap sinar sebenar dalam diri seorang wanita.

Dunia glamor sering menyaksikan bagaimana air mata di sebalik senyuman akhirnya menukar duka menjadi cahaya. Kini, perceraian bukan lagi stigma sebaliknya diterjemah sebagai bentuk keberanian wanita untuk berdiri teguh, memilih diri sendiri daripada terus terperangkap dalam kesedihan.

Sama ada pelakon mahupun penyanyi, ramai selebriti Malaysia kini tampil lebih yakin dan berseri selepas menoktahkan ikatan rumah tangga.

Jika diperhatikan di kamar mahkamah syariah, barisan selebriti yang hadir memfailkan perceraian kebanyakannya wanita, menggambarkan betapa ramai golongan isteri memilih jalan reda berbanding derita.

Gala minggu ini menampilkan empat selebriti wanita yang meskipun mengakhiri perkahwinan dengan perceraian, sinar bahagianya tidak padam.


Nora Danish

Nora Danish membuktikan, apabila Allah memanggil hati untuk berubah, tiada apa mampu menghalang. Selepas bercerai dengan Nedim Nazri pada 19 Jun lalu, pemilik nama sebenar Nora Mohd. Danish Hanif itu memilih untuk berhijab dan mendekatkan diri kepada Pencipta.
Perubahannya mendapat pujian ramai, penampilannya kini lebih sopan, namun tetap menawan.

Nora menemui ketenangan selepas badai rumah tangga dan fokusnya kini lebih kepada keluarga kecil dan amal kebajikan. Tidak sekadar tawaran lakonan, Nora semakin laris disambar jenama produk sebagai duta atau wajah kempen promosi. Di tengah perjalanan rohani dan kelangsungan hidup, desas-desus cinta baharu turut bertiup. Nama Mickey Ayo, seorang perunding kewangan, dikaitkan dengannya.

Meskipun belum mengesahkan hubungan tersebut, kemesraan mereka cukup membuat peminat tersenyum gembira melihat kebahagiaan yang kembali bertandang. Penampilannya menjadi bukti ketabahan wanita yang berdamai dengan masa lalu dan sedang menulis bab baharu.

Ziana Zain

Penyanyi bersuara lantang ini pernah menyulam bahagia selama dua dekad, namun akhirnya takdir menentukan haluan berbeza.

Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu memilih untuk reda dengan ujian rumah tangga yang berakhir pada Julai 2018. Kini, pelantun lagu Berpisah Jua itu fokus kepada kerjaya dan membesarkan empat anak kesayangan.

Dia wanita cekal yang memaafkan masa lalu dan memilih untuk terus maju tanpa menoleh ke belakang.
Kendatipun terduduk dek badai rumah tangga, sinar figura 56 tahun itu terus bersinar dengan aktiviti seni yang tidak surut. Terbaharu Ziana baru selesai konsert Empat Live in KL.

PETALING JAYA 6 Oktober 2025 – Majlis Pelancaran lagu Akhirnya Kamu oleh Bella Astillah dan Deniesh Suffian di Ruang Rama, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Bella Astillah

Nama Bella Astillah kini sinonim dengan kebangkitan selepas kekecewaan.

Bercerai pada 13 Jun tahun lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu tidak menoleh ke belakang.

Pahit kelat terpaksa ditelan untuk melalui episod gelap tersebut nyata membuahkan hasil apabila sinar karier wanita berusia 31 tahun itu kian terang.

Tawaran lakonan datang tanpa henti, wajahnya menghiasi pelbagai kempen fesyen dan kecantikan, malah menjadi duta beberapa produk utama seolah-olah fasa baharu ini benar-benar menjadi miliknya.

Menambah sensasi, hubungan mesranya dengan figura politik muda, Syed Saddiq, sering mencuri perhatian. Biar belum ada pengesahan cinta, ramai menganggap janda dua anak itu kini sedang menikmati fasa hidup yang penuh warna dan matang tanpa lagi dibayangi masa silam.

Fazura

Setelah bertahun mencipta kisah cinta bak drama romantik, Fazura akhirnya memilih untuk menamatkan rumah tangga dengan Fattah Amin pada 7 Oktober tahun lalu. Lafaz talak dibuat di hadapan hakim syarie, menandakan penutup kepada bab yang pernah disulam dengan cinta dan doa.

Fazura mengakui lebih bahagia dan kini terus fokus kepada bisnes fesyen dan kecantikan yang kian berkembang. Penampilannya tetap elegan, setiap kemunculan bagaikan magnet fesyen yang menjadi rujukan pemuja bakatnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |