GEORGE TOWN – Empat sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki sehingga mangsa kerugian RM18,000, 21 Mac lalu.
Bagaimanapun, keempat-empat tertuduh, P. Veeran, 36, S. Rohan Raj, 22, L. Yuvarajan, 21 dan S. Siva, 22, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada mangsa berusia 55 tahun, iaitu risiko ditangkap oleh polis. Perbuatan tertuduh itu telah mendorong mangsa memberikan wang bernilai RM18,000 kepada mereka.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Mac lalu, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, di Blok 2C-10-10, Desa Air Mas, Jalan Helang, Gelugor, Pulau Pinang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, R. Puran.
Ketika prosiding, Syairah menawarkan jaminan berjumlah RM8,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan serta mangsa. Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin berjumlah RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kesemua tertuduh tidak dibenarkan mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta menetapkan pada 28 April depan bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Rohan Raj turut berdepan dua pertuduhan iaitu memiliki pistol tiruan dan menyamar sebagai polis di Desa Air Mas, Jalan Helang di Gelugor di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam, pada 21 Mac lalu. Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan. Seorang lagi rakan Rohan, iaitu Veeran, juga didakwa secara berasingan kerana menyamar sebagai polis di tempat, masa dan tarikh yang sama. – KOSMO! ONLINE