‘Zazzleen perlu pilih karya sesuai dengan suara’

1 day ago 6

SHAH ALAM – Penyanyi  popular Indonesia, Cakra Khan menyifatkan suara pemenang tempat keempat Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Zazzleen sebagai unik dan perlu memilih karya sesuai pada masa akan datang.

Sedar kecaman yang diterima Zazzleen, Cakra yang juga juri tetap CSOIAM berkata, dia pernah dilemparkan kata-kata negatif disebabkan suaranya.

“Memang cabaran Zazleen sama dengan saya. Pertama kali saya masuk industri nyanyian, ramai cakap suara saya seperti banyak kahak.

“Disebabkan itu, saya agak memilih untuk membawa sesebuah lagu. Dengan itu, kita boleh menggunakan dengan secara maksima ciri khas kita,” katanya kepada HibGlam selepas konsert final CSOIAM di sini, semalam.

Ujar Cakra, memiliki suara serak basah membuatkan dirinya lebih menonjol daripada penyanyi lain sekali gus menjadi keistimewaannya.

Justeru itu, pemilihan lagu juga memainkan peranan selain mengambil kira kemampuan seseorang penyanyi menyampaikannya mengikut teknik yang betul.

“Selalunya saya akan terlibat ketika proses pemilihan sesebuah lagu.

“Kalau kita salah pilih atau memaksa diri menyanyikan sesebuah lagu dengan suara sendiri, mungkin akan kedengaran kurang sedap.

Jadi, kita perlu selektif agar mampu menyerlahkan keistimewaan suara sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Kepada Hati itu turut menitipkan pesanan buat Zazleen supaya tidak berasa sedih dengan kritikan orang ramai.

“Tak perlu rasa sedih. Sebaiknya, terus buktikan meski memiliki suara lain daripada lain kita masih ada keistimewaan tersendiri,” jelasnya.

Semalam, Zazzleen diumumkan berada di tangga keempat pada konsert final CSOIAM yang dimenangi Marygrace.

Sebelum ini, Zazzleen teruk dikecam termasuk dikatakan tidak bergelar penyanyi kerana keunikan vokalnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |