Yuyu belum bebas kes edar dadah, hanya lepas jamin RM10,000

1 hour ago 2

KOTA BHARU – Pemilik salun dan kedai makan, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 35, atau dikenali sebagai Yuyu tidak dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah sebaliknya hanya dilepaskan dengan jaminan pada minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pendakwaan terhadap wanita itu diturunkan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 39A(1) akta sama semasa prosiding perbicaraan.

Menurutnya, peruntukan seksyen tersebut diturunkan berdasarkan laporan kimia dan berat dadah yang dirampas bersama wanita itu.

“Kes tersebut masih dalam proses perbicaraan. Pendakwaan terhadap wanita itu dan seorang lagi suspek diturunkan kepada Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membolehkan mereka diikat jamin.

“Nur Ayu Fatihah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 pada minggu lalu. Ikat jamin yang dibayar itu belum lagi menentukan sama ada dia bebas sepenuhnya daripada pertuduhan kes dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di IPK Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, setakat ini, wanita itu dan seorang lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua lagi suspek termasuk suami Nur Ayu Fatihah masih kekal dengan pertuduhan di bawah Seksyen 39B akta sama.

Menurutnya, selain laporan kimia, lokasi dan berat dadah yang dirampas bersama Nur Ayu Fatihah merupakan salah satu faktor yang membolehkan pertuduhan terhadapnya diturunkan.

“Justeru, saya berharap semua pihak termasuk netizen tidak keliru dengan video-video berkaitan Nur Ayu Fatihah yang dimuat naik di media sosial. Dia tidak dilepaskan daripada pertuduhan itu (kes dadah) sebaliknya hanya dibebaskan dengan jaminan selepas seksyen bagi pendakwaan itu diturunkan,” katanya.

Terdahulu, wujud satu akaun menggunakan nama Miss Yuyu di aplikasi TikTok yang mempunyai enam video video baharu dimuat naik.

Akaun tersebut memaparkan video terbaharu Nur Ayu Fatihah atau lebih dikenali sebagai Yuyu sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada netizen kerana wanita itu sepatutnya berada di penjara selepas berdepan pertuduhan kes dadah pada tahun lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, lima suspek termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada 10 Julai tahun lalu atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan.

Tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh iaitu Mohd. Faizal Ismail, 35, isterinya, Nur Ayu Fatihah atau dikenali sebagai Yuyu yang merupakan pemilik salun dan kedai makan, Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd. Khairu Azani Mohd. Lawi, 39, bersama Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Mohd. Faizal merupakan abang kepada Mohamad Farid dan mereka berdua adalah bapa saudara kepada Mohamad Asmawi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |