Yayasan Peneraju tawar pembiayaan Pakej Asas mulai esok

23 hours ago 7

PETALING JAYA – Yayasan Peneraju (YP) memperkenalkan skim pembiayaan baharu yang akan mula ditawarkan pada orang ramai bermula esok, 9 Januari.

Skim Pembiayaan YP itu mula dilancarkan pada tahun 2025 dan melalui dana tambahan baharu ini yang dikenali sebagai Pakej Asas akan melengkapkan lagi pakej sedia adanya iaitu silver, gold dan platinum.

Pelan pembiayaan tersebut dirangka untuk mengurangkan halangan bagi meningkatkan dan memperbaharui kemahiran bakat tempatan dengan nilai  pembiayaan sehingga RM5,000 tanpa faedah, tanpa yuran pentadbiran dan tanpa bayaran balik selepas berjaya menamatkan latihan.

Pendekatan ini menyokong penyertaan lebih meluas selaras dengan keperluan kemahiran di tempat kerja yang terus berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata, satu kajian menganggarkan sekitar 620,000 pekerjaan di Malaysia bakal terkesan secara signifikan ekoran  kecerdasan buatan, pendigitalan dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ini akan  menjadikan peningkatan dan pembaharuan kemahiran sebagai keutamaan mendesak.

“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, jika diurus dengan baik, AI boleh memberikan manfaat lebih inklusif merentasi sektor kesihatan, pendidikan, pertanian, perkhidmatan dan pembuatan.

“Untuk membuka potensi ini secara menyeluruh, kita perlu meluaskan akses kepada latihan aplikasi yang membolehkan rakyat Malaysia menggunakan AI dengan berkesan di tempat kerja.

“Melalui Pakej Asas, YP memudahkan lebih ramai bakat bumiputera untuk mula membina kemahiran AI yang sedia untuk pekerjaan sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah Pakej Asas, pemohon boleh memilih daripada lebih 100 kursus latihan AI yang mendapat permintaan tinggi, ditawarkan oleh lebih 40 Institusi Pembelajaran dan Latihan Diluluskan (ALTI).

Senarai ini akan terus berkembang seiring dengan pengenalan lebih banyak latihan berkaitan AI di pasaran.

Pakej Asas dibuka kepada pemohon berumur 16 tahun ke atas, termasuk lepasan sekolah, pelajar universiti, graduan, golongan bekerja, serta mereka yang bekerja sendiri atau tidak bekerja.

Latihan direka bentuk agar praktikal dan menjimatkan masa, dengan tempoh sehingga enam bulan.

Pada tahun 2025 sahaja, YP telah mendaftarkan lebih 14,000 bakat bumiputera dalam programnya, dengan hampir 9,000 permohonan untuk penawaran berkaitan teknologi, ini merupakan pendaftaran terbesar dalam sejarah YP.

Meneruskan momentum ini, YP menyasarkan 12,000 pendaftaran dalam program berkaitan teknologi pada tahun 2026, dengan rancangan untuk meningkatkan sehingga 50,000 bakat setiap tahun menjelang 2030.

Trajektori ini menyokong objektif RMK-13, dengan sasaran mencapai kumulatif 100,000 bakat dalam tempoh lima tahun. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |