Yayasan Peneraju dukung aspirasi Belanjawan 2026

6 days ago 13

PETALING JAYA – Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah seliaan Kementerian Ekonomi mendukung aspirasi pengumuman Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh pembangunan modal insan bumiputera berkemahiran tinggi.

Di bawah Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion secara keseluruhan kepada YP, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkukuh peluang pendidikan bumiputera.

Peruntukan ini akan membolehkan 12,000 bakat bumiputera dilatih dan diperkasakan pada 2026, menjadikannya pengambilan tahunan terbesar dalam sejarah YP.

Tahun 2026 juga bakal menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kalinya, bilangan akauntan bertauliah bumiputera yang berdaftar baharu dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dijangka melebihi bilangan bukan bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti, membimbing dan mengembangkan bakat bumiputera, pihaknya komited sepenuhnya untuk menyokong aspirasi Belanjawan 2026.

“Matlamat kami adalah untuk melahirkan 2,000 akauntan bertauliah dan 10,000 pakar teknologi dalam tahun yang sama, termasuk dalam bidang kritikal seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan Enterprise Resource Planning (ERP).

“Dengan peningkatan jumlah bakat teknologi bumiputera berkemahiran tinggi, Malaysia berpotensi menarik lebih banyak syarikat antarabangsa dan pelabur untuk membangunkan operasi mereka di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak mula beroperasi pada 2012, YP telah berjaya melahirkan lebih 80,000 bakat bumiputera dalam pelbagai bidang termasuk perakaunan, teknologi, perubatan dan akademik.

Hari ini, agensi tersebut memberi tumpuan sepenuhnya kepada pensijilan profesional dan program berteraskan teknologi yang selaras dengan keutamaan nasional. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |