Dua mangsa yang rentung dalam kebakaran kuarters pekerja di sebuah ladang di Baram, Miri pada awal pagi hari ini.
- Oleh CHERINE JON
- 18 Januari 2026, 1:56 pm
MIRI – Seorang lelaki dan wanita rentung dalam kebakaran melibatkan kuarters pekerja di sebuah ladang di Baram di sini pada awal pagi, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 5.59 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng segera dikerahkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan kuarters kayu berkembar setingkat dua pintu yang terbakar 100 peratus. Unit A yang dihuni seorang lelaki dan wanita yang kedua-duanya berusia 37 tahun telah dijumpai rentung.
“Manakala unit B yang dihuni lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemadaman awal telah dilakukan oleh pekerja ladang dengan menggunakan 30 unit alat pemadam api dan tiga unit pam air dan api telah padam sepenuhnya.
Katanya pasukan bomba yang tiba di lokasi hanya membuat pemantauan di sekitar kawasan kejadian dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2

















































