Danish berkelana awal ke Eropah, sesuaikan diri

2 hours ago 5

SERDANG – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli akan berangkat ke Eropah lebih awal bagi menyesuaikan diri sebelum Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) membuka tirainya penghujung bulan depan.

Dia yang mewakili pasukan MT Helmets MSI akan berangkat ke Sepanyol terlebih dahulu bagi menyesuaikan diri sebelum menjalani sesi ujian pramusim di Litar Portimao awal Februari nanti sebagai persediaan untuk Grand Prix (GP) Thailand.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, beliau menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran bagi memastikan pelumba berusia 19 tahun itu mendapatkan semula rentak perlumbaan.

“Hakim Danish akan pergi ke Eropah hujung bulan ini kerana dia ada sesi ujian pada awal Februari nanti di Portimao. Saya nak dia menyesuaikan diri terlebih dahulu dengan cuaca di sana lebih kurang seminggu.

“Kalau dahulu, saya terus pergi ke sesi ujian dan ketika itu badan masih belum sesuai dengan cuaca. Jadi, kita sudah banyak belajar selepas berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Zulfahmi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara ZK Racing dengan pengeluar pakaian dan aksesori permotoran, OneDry di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, Danish juga sudah pun melakukan persiapan awal bersama rakan sepasukan di ZK Racing selain turut menjemput beberapa pelumba luar negara menyertai latihan di Malaysia.

“Persiapan kita sangat rapi untuk tahun ini dengan memberi perhatian menyeluruh kepada sesi di gimnasium serta aksi di dalam litar. Memang kita sedang siapkan Danish untuk sesuaikan diri dengan semua keadaan,” ujarnya.

Sementara itu, Zulfahmi turut menganggap kerjasama dengan OneDry mampu membantu pelumba-pelumba negara seperti Danish dan Qabil Irfan Azlan yang menggalas nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Tambahnya, perbincangan berhubung penajaan itu berjalan lancar di mana kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat dalam masa cukup singkat untuk memeterai perjanjian selama setahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |