PETALING JAYA – AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd., pengurus bagi AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) sedang bekerjasama rapat dengan Universiti HELP, Bukit Damansara untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua individu yang terkesan akibat insiden kebakaran di universiti tersebut kekal sebagai keutamaan tertinggi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya telah dilaksanakan mengikut piawaian profesional dan kawal selia.
“Sebagai pemilik hartanah, AmanahRaya REIT bekerjasama rapat dengan Universiti HELP dan pengurus hartanah yang dilantik, Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd., bagi memudahkan pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko dan langkah-langkah pencegahan yang perlu di premis yang terjejas,” katanya.
Menurut Amanah REIT, langkah ini adalah sebahagian daripada peranan berterusan syarikat dalam menyokong persekitaran kampus yang selamat dan terjamin, dengan kerjasama Universiti HELP dan pihak berkuasa berkaitan, dengan objektif bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar, kakitangan serta pelawat.
Ini termasuk semakan dan pelaksanaan penyelenggaraan rutin serta protokol keselamatan sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan aset yang berhemah.
“Ingatan kami sentiasa bersama mereka yang terkesan akibat insiden ini. AmanahRaya REIT kekal komited untuk menyokong Universiti HELP dan komuniti kampus sepanjang tempoh ini, dan memastikan semua tindakan yang diambil berpandukan penilaian profesional dan keperluan kawal selia,’ jelasnya.
Pada 12 Januari lalu, AmanahRaya REIT telah bertindak pantas dengan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memudahkan penilaian menyeluruh terhadap kawasan terjejas dan struktur sekitarnya, termasuk pelantikan pasukan forensik bebas, serta mengesahkan kerjasama penuhnya dengan pihak berkuasa yang berkenaan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta perkhidmatan kecemasan.
Langkah-langkah ini diambil bagi menyokong proses pencarian fakta yang telus, profesional, dan menyeluruh.
AmanahRaya REIT akan memberikan kemas kini lanjut apabila maklumat yang disahkan tersedia, selaras dengan penyelesaian siasatan dan penilaian bebas.

3 hours ago
4
![[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/Tangkap-layar-video-Muhammad-Kamarul-tengah-bersama-pihak-Nuh-Travel-semasa-di-KLIA-Sepang-sebelum-berlepas-ke-Jeddah-petang-tadi..jpeg)













































