Budak empat tahun parah dirempuh MPV agensi penyelamat

4 hours ago 1

KOTA BHARU – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang parah selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) milik agensi penyelamat semasa sambutan hari keluarga di Bachok dekat sini pada 3 Januari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah merakam percakapan pemandu MPV tersebut untuk membantu siasatan kes tersebut.

Menurutnya, beliau memberi jaminan bahawa siasatan telus sedang dijalankan selepas polis menerima sebanyak tiga laporan berkaitan kemalangan tersebut.

“Buat masa ini, mangsa dilaporkan masih belum sedarkan diri. Kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi pada 3 Januari lalu itu, Nurul Afia Raisha Muhamad Shamsul, 4, parah pada bahagian abdomen selain patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk selepas dirempuh sebuah MPV milik agensi penyelamat.

Ibu mangsa, Nurul Afzan Che Ramlee, 33, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu masih memerlukan bantuan pernafasan dan sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.

Katanya, setakat ini, Nurul Afia sudah menjalani tiga pembedahan kecil pada bahagian dada dan menunjukkan perkembangan positif walaupun masih kritikal.

“Semasa hari kejadian, anak saya sedang bermain di kawasan padang iaitu tempat berlangsungnya acara sukan rakyat sebelum dirempuh MPV tersebut yang sedang dalam keadaan mengundur.

“Beberapa kanak-kanak lain juga bermain di situ kerana ia berkenaan bukan di atas jalan sebaliknya tapak sukaneka,” ujarnya.

Nurul Afzan memberitahu, anaknya dibawa menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan ke Hospital Bachok untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke HPUSM selepas disahkan kritikal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |