CYBERJAYA – Sebanyak empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia dengan memohon lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di Malaysia.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tencent (WeChat) telah menjadi platform pertama menerima Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), diikuti ByteDance (TikTok) yang berjaya memperoleh lesen mereka.
Katanya, Telegram kini berada di peringkat akhir proses pelesenan, manakala Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram, dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen yang dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
“X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube, belum menghantar permohonan kepada MCMC.
“Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan. Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berhubung Google kata MCMC, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.
“MCMC telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa,” katanya.
MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan, serta pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE