Warga Sri Lanka didakwa guna pasport Malaysia palsu di Romania

1 hour ago 1

PETALING JAYA – Seorang individu dipercayai berasal dari Sri Lanka didakwa cuba memasuki Romania dengan menggunakan pasport Malaysia yang disyaki palsu.

Perkara itu didedahkan seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak imigresen di Bucharest, Romania ketika mengunjungi negara berkenaan baru-baru ini.

Menurut lelaki itu, dia pada mulanya telah diminta untuk menunjukkan beberapa dokumen pengenalan diri oleh pihak imigresen sebagai pengesahan.

“Kisahnya bermula bila aku sampai dekat imigresen Bucharest, mereka minta kita punya pasport dan tanya soalan, contohnya macam lepas pergi ke Bucharest nak pergi ke mana? ada buat tempahan hotel dan penerbangan balik ke tidak? Jadi, aku tunjuk sahaja macam biasa.

“Kemudian dia tanya ke aku ada ‘ID’ (dokumen pengenalan) lain tak? Aku pun buka MyJPJ untuk tunjuk lesen memandu. Tapi pegawai itu kelihatan tidak puas hati hingga panggil rakan dia yang lain,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok Pastu Anep? baru-baru ini.

Mengulas lanjut, lelaki itu memaklumkan bahawa dia kemudian telah dibawa ke sebuah bilik untuk disoal siasat dan pemeriksaan.

“Mereka suruh aku keluarkan semua barang kat dalam beg, dan seorang pegawai datang untuk soal siasat.

“Selepas dia periksa, tak ada apa-apa yang sangkut dan aku tanya kenapa aku kena soal siasat dan ada apa-apa yang berlaku?

“Rupanya menurut pegawai itu, dua minggu lepas, ada seorang individu masuk ke Bucharest guna pasport Malaysia, namun pasport dia pasport palsu dan dia adalah warga Sri Lanka,” jelasnya.

Justeru, lelaki itu berkata, sekiranya kes itu benar berlaku, maka ia merupakan isu yang serius dan kerajaan serta pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dan ambil tindakan sewajarnya.

“Bagi aku, pasport adalah dokumen yang sangat penting untuk warganegara Malaysia untuk rekod perjalanan. Jika pasport kita boleh dipalsukan dan warga negara lain buat hal, Malaysia yang kena, bahaya kan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |