KUANTAN – Diumpan dengan hadiah berlian bernilai lebih RM200,000 menyebabkan seorang wanita warga emas berputih mata selepas mengalami kerugian lebih setengah juta apabila terperdaya dengan penipuan tawaran hadiah palsu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Rompin itu bermula pada 1 September lalu apabila mangsa yang berumur 65 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku daripada sebuah syarikat.
“Individu tersebut memaklumkan bahawa mangsa memenangi tempat kedua dalam ‘Jamuan Penghargaan Pelanggan’ syarikat berkenaan dan ditawarkan hadiah berupa berlian dan diberi pilihan untuk menukarkannya kepada wang tunai sebanyak RM205,000.
“Mangsa bersetuju dan diminta membuat bayaran deposit sebanyak RM6,150 kononnya bagi tujuan penebusan hadiah tersebut,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah membuat dua kali transaksi ke akaun yang diberikan oleh suspek namun suspek terus memperdaya mangsa dengan pelbagai alasan untuk membuat bayaran tambahan.
Beliau memberitahu dari 3 September hingga 9 Oktober lalu mangsa telah melakukan 30 transaksi ke 13 akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM535,758.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah tidak menerima sebarang hadiah atau wang tunai seperti dijanjikan dan kerugian yang dialami mangsa melibatkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga,”katanya.
Sementara itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran hadiah atau pulangan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Katanya, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE