Wanita warga China ditahan bantu kes juruwang restoran mati ditikam

2 months ago 45

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lagi suspek wanita warga China bagi membantu siasatan babit kes juruwang restoran yang maut ditikam di pusat beli belah Cheras, di sini, 29 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) IPK Kuala Lumpur menahan suspek di hadapan kedai serbaneka di KL Sentral semalam.

“Suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang semalam.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini di mahkamah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, pihaknya masih belum mengenal pasti suspek utama serta motif kejadian dan kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat kecederaan pada paru-paru kiri dan pendarahan.

“Tangkapan awal seramai tujuh suspek iaitu melibatkan dua lelaki warga China, empat warga Myanmar termasuk dua wanita dan seorang lelaki tempatan.

“Reman terhadap mereka tamat esok dan kita akan mohon untuk sambung reman esok,”jelasnya.

Semalam Kosmo! melaporkan seramai 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya sedang mengesan suspek utama serta motif kejadian.

Terdahulu, wanita berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat beberapa kesan tikaman menggunakan senjata tajam.

Kejadian yang dipercayai berlaku antara pukul 3 hingga 4 petang itu menyebabkan mangsa mengalami empat hingga lima kesan tikaman pada badannya.

Senjata yang digunakan dalam kejadian itu juga belum ditemui dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Tujuh suspek yang merupakan rakan sekerja mangsa sudah ditahan untuk membantu siasatan.– KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |