[VIDEO] Ya, okay – Vivy Yusof

2 months ago 70

KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar meninggalkan pekarangan mahkamah di sini sekitar pukul 2.47 petang tadi.

Ia selepas kedua-dua mereka selesai membayar ikat jamin sebanyak RM100,000 setiap seorang.

Vivy, 37, dan suami, 36, ketika ditemui pemberita hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih sambil menuju ke arah kenderaan mereka yang sudah bersedia di pintu utama mahkamah.

Ketika ditanya bagaimana proses perbicaraan yang berlangsung pagi tadi, Vivy sekadar mengangguk dan membalas secara ringkas.

“Ya, okay,” kata Vivy.

Terdahulu, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan pecah amanah pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.

Vivy dan suami membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn. Bhd. yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional dan PNB melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.

Kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.

Mahkamah menawarkan jaminan RM100,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta dilarang menganggu atau mempengaruhi mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan kes ditetapkan pada 22 Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |