[VIDEO] Titi gantung runtuh, rombongan pengantin lelaki jatuh sungai

6 hours ago 25

KUALA KRAI – Lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki berdepan detik cemas selepas mereka terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek di sini semalam runtuh semasa mereka dalam perjalanan untuk menghadiri kenduri perkahwinan.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu dipercayai berlaku semasa rombongan pengantin lelaki sedang dalam perjalanan pulang sebelum bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri kenduri di atas titi gantung tersebut.

Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd. Zaki Saari berkata, situasi itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki selepas terjatuh di atas batu.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan seorang kanak-kanak cedera pada bahagian kepala manakala tiga lagi individu luka ringan serta sesak nafas.

“Difahamkan, seramai lebih 50 individu menggunakan titi itu semasa kejadian berlaku. Keadaan itu mengakibatkan titi tersebut tidak mampu menampung beban yang terlalu berat.

“Rombongan pengantin lelaki itu Pasir Puteh sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai majlis, manakala tetamu pula baru sampai ke kenduri itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Zaki memberitahu, kesemua individu yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terlibat sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kecuali seorang lelaki yang patah kaki masih berada wad untuk rawatan lanjut.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Fauzi Abdullah terus ke lokasi kejadian dan memakulumkan kerja-kerja baik pulih titi gantunh itu akan dilakukan dengan segera.

“Titi gantung itu merupakan laluan utama penduduk di lima buah rumah di kawasan berkenaan untuk melakukan urusan harian,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, tali pengikat di dalam simen titi gantung itu sudah uzur dan perlu diganti dengan yang baharu. – KOSMO! ONLINE

@_sthwaa #jambatanruntuh ♬ Камин – DR3AM7NG
Read Entire Article
Pertanian | | | |