[VIDEO] Sekolah lokasi kes tikam pelajar perempuan lengang, sunyi

12 hours ago 4

PETALING JAYA – Sebuah sekolah menengah di Bandar Utama yang menjadi lokasi pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, semalam kelihatan lengang dan sepi, hari ini.

Keadaan itu berlaku dipercayai susulan para pelajar dan ibu bapa yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian berkenaan.

Ibu kepada salah seorang pelajar di sekolah tersebut turut berkongsi video yang memaparkan suasana di sekolah itu dari luar pagar, hari ini.

Wanita itu turut meluahkan bahawa dirinya juga masih dalam keadaan terkejut dan bertindak merehatkan anaknya daripada persekolahan.

“Sunyi dan lengang sekolah hari ni. Sis pun cutikan anak daripada pergi ke sekolah.

“Hanya yang sekolah kebangsaan saja sis hantar. Masih terkejut,” katanya ringkas di media sosial dengan profil @Lily Tudung Bawal, hari ini.

Perkongsiannya itu meraih perhatian orang ramai yang rata-rata turut terkesan dengan kejadian tersebut.

“Kasihan budak-budak yang nak ambil SPM, sudah la beberapa minggu lagi nak peperiksaan, dengan trauma kes semalam lagi,” ujar @Maktucen.

“Macam mana anak-anak yang nak SPM tu. Tinggal berapa hari saja lagi. Anak-anak yang lain pun sekarang minggu peperiksaan, kasihannya,” komen @Michelle.

“Kalau saya pun bagi anak cuti. Bukan dia orang saja trauma, sekali mak ayah pun rasa,” luah @F&f.

Semalam Kosmo! melaporkan, dalam kejadian pukul 9.10 pagi semalam, mangsa berusia 16 tahun ditemui maut di kawasan tandas dengan kecederaan akibat beberapa kesan tikaman pada badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek berusia 14 tahun itu telah ditahan dan dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian.

Pada pagi ini, pelajar lelaki berkenaan dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.

Suspek yang juga pelajar tingkatan satu, direman sehingga Selasa minggu depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

@lily_tudungbawalSunyi & lengang je sekolah hari ni. Sis pun cutikan anak Sis dari pergi ke sekolah. Hanya yg SK je Sis hantar. Masih terkejut 😔

♬ Sad song by piano and violin(886018) – NOVA

Read Entire Article
Pertanian | | | |