PETALING JAYA – Seorang pempengaruh Indonesia, Willie Salim, mencuri perhatian apabila memberikan sumbangan sebanyak 100 juta rupiah (RM27,887) kepada Pak Sun, seorang penjual teh ais yang tular selepas dihina pendakwah terkenal, Gus Miftah, baru-baru ini.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok miliknya, Willie dilihat meletakkan 10 ikatan wang tunai bernilai 10 juta rupiah (RM2,788.61) di hadapan Pak Sun sambil menjelaskan tujuan wang itu diberi.
Pak Sun tidak dapat menahan sebak dan menangis kerana tidak menyangka akan menerima jumlah wang yang besar.
“Ini rezeki dari Allah, Pak. Bapak orang yang jujur dan baik, sayang pada isteri, bertanggungjawab terhadap keluarga, dan sayang pada anak-anak,” kata Willie sambil memuji keperibadian Pak Sun.
Willie turut mencadangkan agar wang itu digunakan untuk keperluan tertentu bagi memastikan kebajikan keluarga Pak Sun terjaga.
“Bapak boleh gunakan 50 juta rupiah untuk perniagaan warung, 20 juta untuk simpanan pendidikan anak-anak bapak, dan baki 30 juta untuk simpanan. Mungkin juga boleh digunakan untuk menunaikan umrah,” katanya.
Ketika mendengar cadangan membuka warung, Pak Sun tersenyum lebar seolah-olah sudah membayangkan peluang baharu untuk mengubah hidupnya.
Namun, dia menjelaskan bahawa ramai sudah menawarkan tajaan untuk menunaikan umrah, dan Willie mencadangkan supaya wang itu digunakan untuk simpanan keluarga.
Di penghujung video, Pak Sun sekali lagi menangis, terharu dengan kemurahan hati Willie dan sokongan orang ramai.
“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain,” ujar Willie sebelum menamatkan pertemuan penuh emosi itu.
Tindakan Willie mendapat pujian meluas di media sosial, dengan ramai memuji sikap dermawan dan kepeduliannya terhadap golongan memerlukan. – KOSMO! ONLINE
@williesalim100 JUTA UNTUK BAPAK PEDAGANG ES TEH 🙏