PETALING JAYA – Guna jalan kampung kerana mahu elak kesesakan di laluan utama menghala ke Kuala Lumpur, namun akhirnya terpaksa berdepan kesesakan juga.
Itu situasi dilalui pengguna jalan raya di laluan bermula dari Sabak Bernam menghala ke Kuala Selangor apabila mereka berdepan kesesakan di jalan ‘tikus’ berikutan ramai yang turut menggunakan jalan itu.
Situasi itu turut dikongsikan seorang pengguna TikTok Amengpro96 yang memuat naik video dron memperlihatkan kesesakan di jalan sekitar Tanjong Karang, semalam.
Pada video itu, kelihatan kenderaan berderet panjang di atas jalan kampung, dengan masing-masing mahu menghala ke Kuala Lumpur, ditambah lagi ada yang berziarah raya.
“Keadaan jalan sekitar Tanjong Karang raya ketiga. Sesak sampai jalan-jalan kampung,” katanya pada kapsyen video dimuat naik semalam.
Video itu mendapat pelbagai maklum balas, malah ada pengguna berkongsi pengalaman sama melalui jalan tersebut.
“Semalam jalan dari Sabak Bernam terus susur jalan kampung, sama je keadaannya. Melekat juga kat Tanjong Karang, tak kira dari ceruk mana pun kita masuk nak cuba elak,” kata Mon2Osman.
“Semalam dah hadap, nak keluar ke lampu isyarat Tanjong Karang pun dekat satu jam. Akhirnya pusing balik masuk jalan Sungai Sireh ikut Ban Kenal, lalu jalan dalam Bestari Jaya, Ijok, Puncak Alam baru masuk Shah Alam. Raya kedua ‘jem’ kita, bertabahlah,” kata Fida Luna.
“Aku lalu jalan ni semalam. Dari Kulim keluar lebuh raya masuk Changkat Jering, masuk WCE lalu sini jalan nak pergi Rawang. Dari pukul 3 petang sampai 12.30 malam baru sampai,” komen Acu. – KOSMO! ONLINE
@amengpro96 keadaan jalan sekitar tanjong karang..raya ketiga…jem sampai ke jalan2 kampung #tanjongkarang #sekinchan #drone #raya2026 ♬ original sound – 🅻🅴🅽🅶 – ZERO_1
7 hours ago
6

















































