BATU PAHAT – “Dia ‘pergi’ bertemu bidarari syurganya di sana.”
Itu luahan pilu ahli keluarga Muhammad Husni Mahmud, 47, yang ditemui mati lemas selepas kereta Proton Saga dipandunya terjunam sebelum tenggelam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Pagoh, Muar dekat sini, petang semalam.
Adik mangsa, Saryussaqapi, 42, berkata, dia dan ibu bapanya tidak menyangka sarapan pagi kelmarin adalah pertemuan kali terakhir melihat raut wajah Muhammad Husni.
“Pagi semalam kami makan sarapan pagi bersama-sama dekat rumah ini, masa itu tiada perubahan apa-apa, beberapa hari ini dia mengadu sakit kepala sangat-sangat.
“Saya urut kepala dia, dia kata ringan sikit, lepas itu dia cakap nak pergi klinik lepas sarapan, tak sangka dia pergi sampai Panchor, sebab dia kata dia nak pergi jumpa kawan,”katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Taman Bendahara, Kampung Sungai Kajang di sini, hari ini.
Saryussaqapi berkata, Muhammad Husni yang merupakan anak ketiga tujuh beradik merupakan seorang yang terlalu sayangkan isterinya.
Jelasnya, selepas isteri adiknya itu, Haniza Rahmat meninggal dunia pada 23 September 2021 akibat jangkitan Covid-19, Muhammad Husni seolah-olah terlalu merindui isterinya.
“Dia dah pergi jumpa isterinya di sana, kami reda dengan ketentuan Ilahi,”katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu sebaik melihat penstriman langsung di TikTok mengenai kejadian sebuah kereta terjunam ke dalam sungai.
“Waktu itu, saya masih samar samada kereta itu milik abang atau orang lain memandangkan nombor pendaftaran tidak jelas.
“Saya mengikutinya (penstriman langsung) sehinggalah pukul 1 pagi tadi, barulah saya tahu kereta itu milik abang. Pada ketika itulah saya dimaklumkan bahawa abang sudah tiada,”katanya.
Sementara itu, bapa arwah, Mahmud Talib, 78, berkata, arwah Muhammad Husni tinggal bersamanya dan isteri di rumah itu selepas kematian isteri akibat pandemik Covid-19.
Katanya, sebelum ini, dia menyewa bersama arwah isteri tidak jauh dari rumahnya sebelum mereka berpindah ke sini.
“Husni seorang yang rapatlah dengan saya sebab tinggal dengan saya di sini, dia seorang periang dan tak banyak karenah.
“Kami dapat berita sedih ini dan pengesahan selepas dihubungi pihak berkuasa memaklumkan mangsa kejadian kereta tenggelam itu adalah anak saya,”katanya.
Mahmud berkata, Allahyarham Muhammad Husni akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kajang, di sini selepas selesai proses bedah siasat.-KOSMO! ONLINE