PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah dilaporkan terkandas di Madinah selepas didakwa belum mendapat tiket penerbangan pulang ke Malaysia daripada pihak agensi, merayu sumbangan mana-mana pihak bagi membantu kepulangan mereka ke tanah air.
Jemaah tersebut memerlukan kira-kira RM90,000 untuk pembelian tiket pesawat dijangka berlepas pada 8 Januari, manakala tambahan RM20,000 bagi kos hotel yang perlu dipanjangkan tempoh serta logistik termasuk pengangkutan bas.
Pelakon Avaa Vanja yang juga mutawifah serta berada di Madinah ketika ini, turut bertemu jemaah tersebut bagi menghulurkan bantuan selain berbincang perancangan untuk urusan kepulangan mereka.
“Mereka memerlukan RM90,000 itu untuk pembelian tiket penerbangan pulang serta tambahan RM20,000. Harga tiket RM90,000 pun memang ‘ngam-ngam’ berdasarkan kiraan kami.
“Saya bertemu jemaah hari ini dan bagi bantuan yang mana ia juga daripada pihak lain. Dari segi tiket penerbangan, harga itu sangat murah (pada 8 Januari), namun bagi jemaah umrah ini, mereka tiada jumlah wang yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Avaa berkata, mana-mana pihak yang prihatin adalah dialu-alukan bagi membantu kepulangan 36 jemaah tersebut ke tanah air.
“Sebab itu kita perlu tambahkan lebih sikit (tempoh) untuk jemaah ini dapatkan wang menerusi sumbangan bagi membeli tiket pesawat,” katanya.
Wakil jemaah, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, mendakwa, mereka sekeluarga mengeluarkan banyak perbelanjaan sepanjang di sana, sedangkan bayaran dibuat sebelum ini kepada pihak agensi adalah meliputi pakej lengkap.
“Kami kena keluarkan duit untuk hotel, makan dan apa sahaja sedangkan (dijanjikan) full board (pakej lengkap).
“Selain itu, kami pun tidak dapat nak minta bantuan keluarga memandangkan kesemua adik-beradik sama-sama (terkandas) di sini. Jadi kami memerlukan bantuan untuk membeli tiket penerbangan pada 8 Januari.
“Kami fikir tempoh beberapa hari ini diharap dapat mengumpulkan wang darmenerusi sumbangan itu untuk membeli tiket tersebut,” katanya.
Ahmad Fauzi turut mengucapkan syukur kepada Allah SWT serta berterima kasih kepada Avaa, pihak-pihak lain serta akhbar Kosmo! yang tampil membantu mereka di sana.
Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membawa pulang kumpulan tersebut boleh menghubungi wakil jemaah, Ahmad Rifaei (013-2223027) atau Avaa Vanja (012-3861199).
Kelmarin Kosmo! Online melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada esok juga belum mendapat tiket tersebut. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1
















![[VIDEO] ‘Musim tengkujuh, sampah hanyut dari luar sampai pantai Terengganu’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-02-at-15.12.59.jpeg)
































