BALIK PULAU – Seramai lapan mangsa termasuk seorang kanak-kanak dan warga emas mengalami kecederaan setelah kereta yang mereka naiki terlibat kemalangan sebelum terbakar berhampiran dusun durian, Jalan Balik Pulau, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.40 pagi itu melibatkan dua buah kereta jenis Mercedes Benz dan Perodua Alza dari arah bertentangan.
Empat mangsa terdiri penumpang kereta Perodua Alza iaitu dua wanita termasuk seorang warga emas berusia 70 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan patah kaki dan tangan manakala seorang lagi wanita mengalami kecederaan dalaman.
Mangsa yang cedera ringan pula terdiri pemandu Perodua Alza dan tiga pemuda yang menaiki kereta Mercedes Benz berusia 21 hingga 23 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 2.47 pagi tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau dengan bantuan BBP Balik Pulau.
“Kebakaran melibatkan dua buah kereta akibat daripada kemalangan jalan raya di selekoh laluan berbukit dan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran bagi kedua-dua kereta tersebut adalah sebanyak 90 peratus.
“Kemalangan berlaku melibatkan lapan mangsa. Kesemua mangsa menerima rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), St John dan Penang First Responder yang turut berada di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam dan pasukan polis yang tiba terlebih dahulu di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua mangsa telah dihantar ke hospital pada pukul 4.10 pagi tadi untuk diberikan rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE