Urat malu saya dah putus, sekarang lebih berani – Hussain

6 hours ago 6

SHAH ALAM – Peserta program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Hussain tampil menafikan dakwaan liar yang menuduh pengurusnya sukar memberikan kerjasama sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.

Menjelaskan situasi sebenar, Hussain atau nama lengkapnya Hussain jamilul Hayat, 23, menegaskan bahawa isu utama bukanlah berpunca daripada pengurusan, sebaliknya daripada kelemahan dirinya sendiri yang masih bergelut dengan rasa malu untuk berhadapan dengan khalayak.

“Tak betul. Cuma diri saya sahaja yang masih belum keluar daripada kelompok rasa malu.

“Jadi malam ini (Ahad) saya buktikanlah yang pengurus dan penolong pengurus saya buat kerja. Cuma saya sahaja yang masih tak nak keluar daripada perasaan malu itu.

“Sekarang saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan industri. Memang betul, saya agak kekok sedikit, jadi saya cuba untuk perbaiki diri saya,” katanya kepada Kosmo! Online usai konsert minggu kelima TTMM2, baru-baru ini.

Hussain turut meluahkan rasa terkilan apabila netizen mula melampaui batas dengan mengaitkan nama bapanya iaitu Jamilul Hayat serta orang di sekelilingnya, sedangkan mereka bertungkus-lumus membantunya di belakang tabir.

“Saya memang marah apabila benda yang tak betul diperkatakan. Mereka petik nama bapa dan orang sekeliling saya, padahal diri saya sahaja yang masih belum perbaiki, bapa saya cuma buat kerja dia sahaja.

“Mereka semua sebenarnya banyak beri idea kepada saya. Cuma saya sendiri yang masih belum tunjukkan kemampuan sepenuhnya.

“Jadi kepada yang tengok video atau baca di Threads, dakwaan tersebut tak betul. Saya akui, memang itu salah saya juga sebab masih lagi segan,” luahnya lagi.

Enggan membiarkan komen-komen negatif merosakkan fokusnya, Hussain memilih untuk menjadikan kritikan tersebut sebagai batu loncatan untuknya bangkit mempamerkan persembahan yang lebih bertenaga.

“Tapi bila saya baca banyak komen sebegitu, memang ada rasa nak berubah.

“Secara peribadi, benda itu taklah terlalu mengganggu mental saya. Sebaliknya beri saya semangat untuk buktikan yang saya boleh buat lebih baik lagi.

“Sekarang dah masuk minggu kelima dan bagi saya rasa malu itu dah semakin hilang. ‘Urat malu’ dalam diri saya dah putus, jadi sekarang saya rasa lebih berani,” katanya lagi.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan pengurus Hussain kurang disenangi segelintir pihak kerana dikatakan terlalu tegas selain sukar memberi ruang kepada media untuk mendekati penyanyi itu bagi sesi temu bual.

Malah, terdapat juga dakwaan kononnya setiap urusan perlu melalui tapisan tertentu dan mengikut standard yang ditetapkan selain tidak mahu menjalankan sebarang sesi fotografi bersama Hussain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |