UniMAP Unity Woodball persiapan awal ke Sukan SEA

4 hours ago 2

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif dengan menganjurkan kejohanan pemanas badan sebagai persediaan buat skuad woodball negara dalam misi memburu pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan Disember depan.

Kejohanan peringkat antarabangsa, UniMAP Unity Woodball anjuran Pusat Penyelidikan UniMAP, Kluster Pengurusan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sukan (SERC) telah diadakan di Pusat Sukan UniMAP, Arau, Perlis baru-baru ini.

Ia boleh dilihat sebagai medan pemain-pemain woodball kebangsaan membuat persiapan kerana turut disertai 65 peserta termasuk 45 atlet melibatkan selatan Thailand, wilayah Satun dan Songkhla.

Ketua Pusat Penyelidikan COE SERC UniMAP, Prof. Madya Dr Zulkarnay Zulkifli yang merasmikan kejohanan tersebut, mengalu-alukan kesemua pemain luar negara mewakili kelab masing-masing dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara mereka.

“SERC ditubuhkan bagi menjalankan kajian berkenaan kejuruteraan sukan. Merangkumi pelbagai jenis sukan, SERC mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai persatuan sukan dalam meningkatkan prestasi sukan.

“Malah, hubungan persatuan woodball dengan kelab dari Thailand dapat memantapkan prestasi sukan ini di Perlis,” katanya pada ucapan perasmian kejohanan yang turut dihadiri Ketua SERC Pengurusan UniMAP, Prof. Madya Ts Dr Mohammad Harith Amlus.

Seramai 14 atlet woodball Malaysia cemerlang dengan menggondol sembilan kemenangan daripada 10 pemenang.

Pemenang kategori lelaki membawa pulang hadiah wang tunai dengan Mohd. Fazli dari Perlis menjadi juara diikuti Nopharen Anukul dari pasukan Rak Songkhla Thailand di tempat kedua dan ketiga menjadi milik seorang lagi pemain Perlis, Noraidil.

Juara dunia tahun lalu, Nor Rinda Ramli mewakili Perlis menepati ramalan apabila menjuarai kategori wanita dengan rakan sepasukannya, Asmawana meraih tempat kedua diikuti Thananchanok Wattanakul dari pasukan Hongs Phitak Thailand melengkapkan kedudukan podium.

Dalam masa sama, SERC Pengurusan bakal mengadakan bengkel persediaan persiapan buat skuad woodball kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Thailand nanti yang akan diadakan sebanyak dua kali dalam usaha mempersiapkan mental dan fizikal barisan atlet.

Bengkel yang akan diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pastinya bakal meningatkan semangat atlet-atlet kebangsaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |