Umat Islam wajib pertahankan Palestin, Masjid Al-Aqsa – MKI

1 month ago 26

PETALING JAYA – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan umat Islam wajib membela serta mempertahankan Palestin dan rakyatnya daripada segala bentuk kezaliman, pencerobohan dan penjajahan rejim Israel.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Nooh Gadot berkata, keputusan itu dibuat susulan persidangan pada 24 hingga 26 September lalu yang membincangkan mengenai kewajipan membela dan mempertahankan Palestin dan rakyatnya daripada pencerobohan Israel.

Keputusan itu juga katanya menyeru umat Islam menyokong pengiktirafan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak asasi manusia.

“Umat Islam juga hendaklah bersatu dalam mempertahankan dan membebaskan Masjid al-Aqsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Nooh berkata, boikot adalah disyariatkan dalam Islam terutama untuk mempertahankan dan memelihara maqasid syariah dan perbuatan itu selari dengan tuntutan jihad terutama dari segi harta.

Jelasnya, tindakan memboikot syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai kepentingan dan terlibat dengan rejim Zionis hendaklah berpandukan beberapa parameter yang digariskan.

“Ia termasuk matlamat boikot untuk menekan syarikat menukar polisi, visi, misi dan strategi mereka berkenaan Palestin dan menghentikan kezaliman Israel.

“Tindakan boikot hendaklah dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria antaranya syarikat terlibat dalam aktiviti penjajahan dan membantu rejim Zionis.

“Antaranya seperti membekalkan perkakas komputer, membekalkan jentera atau peralatan bagi memusnahkan harta benda dan nyawa rakyat Palestin serta memberi pembiayaan kewangan,” ujarnya.

Tambah Nooh, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai badan penyelaras telah menyembah maklum pandangan hukum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 dan 24 Oktober.

“Dalam hal ini, Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa agama negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |