TPM saran Smart, Nadma ubah warna uniform

22 hours ago 8

PUCHONG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan uniform Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) ditukar supaya lebih menonjol, mudah dikenali dan mencerminkan kesiapsiagaan pasukan.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat selari dengan tahap kecekapan Smart yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini Smart memang Smart dan Smart tindakannya serta pantas. Saya berterima kasih kepada Smart yang telah menempa nama baik bukan hanya negara ini, tapi ASEAN dan di peringkat dunia.
“Bukan pasukan lain tidak Smart. Mesti Smart juga macam Smart. Sebab itu saya beritahu tukarlah uniform. Tukarlah. Saya bukan tak suka warna coklat itu, tapi tolong jangan pakai warna hijau, alergik,” katanya dalam nada berseloroh.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat tahun baharu 2026 kepada warga Nadma di Markas Smart di Pulau Meranti di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menyentuh soal penampilan anggota yang menurutnya perlu dijaga walaupun ketika tiada bencana.

“Biarlah perut besar sikit pun tak apa, yang api kena usahalah kecilkan sikit. Ini pakai uniform tapi perut boroi. Terlebih makan ke apa sebab tak ada kerja ketika tidak ada bencana,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Smart sentiasa mengamalkan pendekatan kemanusiaan berasaskan nilai dan empati dalam setiap tugasan.

Menurut beliau, keselamatan serta maruah mangsa mesti menjadi keutamaan, selain memastikan pendekatan berpusatkan rakyat dijadikan asas utama pengurusan bantuan.

“Bantuan mesti disalurkan secara cepat, adil dan berintegriti tanpa mengira latar belakang atau warna politik,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan setiap gerak kerja bantuan perlu dilaksanakan seolah-olah membantu ahli keluarga sendiri, dengan berteraskan nilai ihsan, hormat dan amanah.
.
Beliau turut mengakui pengorbanan besar yang dilakukan oleh anggota keselamatan dan pasukan penyelamat, termasuk terpaksa bekerja lebih masa serta meninggalkan keluarga demi menjalankan amanah negara.

“Saya tahu ada kalanya kita terpaksa mengorbankan masa bersama anak, isteri dan suami, namun inilah baiah dan aku janji kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |