Tindakan segera tangani keselamatan kebakaran di zon industri

1 month ago 35

PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) diseru untuk segera menguatkuasakan undang-undang terhadap keselamatan kebakaran di zon industri.

Pengarah Urusan Advokasi Perusahaan dan Industri (API), Datuk Fazli Nordin berkata, sebarang insiden seperti kebakaran atau kemalangan industri boleh memberi kesan negatif kepada keupayaan Malaysia untuk menarik pelaburan dalam sektor pembuatan dan pusat data.

“Adalah membimbangkan apabila mengetahui sebuah syarikat multinasional beroperasi dengan sijil kebakaran yang telah tamat tempoh di dua kemudahan pembuatan yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Zon Perindustrian Senai.

“Ujian penilaian wajar juga telah menemui keraguan mengenai sistem pemadaman kebakaran dan pengubahsuaian yang disyaki tidak mematuhi peraturan di salah satu premis yang dioperasikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebuah syarikat multinasional menjalankan operasi dengan sijil kebakaran yang telah tamat tempoh di dua kilang yang disewanya di Johor.

Mengulas lanjut, kata Fazli, ketidakpatuhan berkaitan sistem pemadaman adalah punca utama kebakaran di sebuah taman industri dekat Gelang Patah, Johor yang meragut nyawa tiga pekerja, Oktober lalu.

Sehubungan itu, Fazli berkata, sikap sambil lewa segelintir syarikat terhadap keselamatan kebakaran perlu ditangani segera, seiring pertumbuhan Malaysia sebagai hab pembuatan dan pusat data.

“Memandangkan pengembangan hab industri serta pengenalan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak dana kepada pihak berkuasa untuk memastikan syarikat beroperasi mengikut peraturan.

“Kita juga memerlukan pengawasan yang lebih baik terhadap cara pemeriksaan dijalankan, dan di sinilah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan penting,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |