TEMERLOH – Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes pukul anjing sehingga mati yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Dalam video berdurasi 28 saat itu menyaksikan beberapa orang lelaki memukul seekor anjing dipercayai haiwan peliharaan sehingga mati menggunakan kayu di Taman Mentakab di sini.
Difahamkan pada hari yang sama, seorang lelaki dilaporkan turut digigit anjing di kawasan Jalan Utama Taman Mentakab di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, tiga lelaki yang masing-masing berumur 39, 29 dan 19 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan.
“Dua lelaki ditahan di tepi Jalan Pintasan Temerloh-Mentakab pada pukul 11 malam kelmarin manakala seorang lagi ditahan pada pukul 1.05 pagi ini di Jalan Pintasan Temerloh-Mentakab.
“Polis turut merampas satu batang kayu bulat dan berdasarkan pengakuan awal lelaki berkenaan mengaku terlibat dalam kes ini,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Semalam Kosmo! melaporkan perbuatan kejam sekumpulan lelaki memukul seekor anjing hingga mati menggunakan kayu yang bukan saja dikecam netizen, malah mencetus kemarahan orang ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Insiden itu berlaku di Taman Mentakab Indah, di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam dan dirakam seorang saksi yang juga ibu kepada seorang juruwang wanita berusia 23 tahun.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan dilaporkan berkata, saksi kejadian telah tampil membuat laporan polis selepas video berkenaan mendapat perhatian meluas di media sosial.
Katanya, pihak polis juga menerima laporan berasingan daripada seorang lelaki yang mendakwa digigit anjing berwarna coklat dan hitam di kawasan Jalan Utama Taman Mentakab kira-kira pukul 9 pagi pada hari sama sehingga mengalami luka dan bengkak di kaki kiri. – KOSMO! ONLINE